21 calon rebut tujuh kerusi Parlimen Belia wakili Perak

Muhammad Puhaz (kanan) menyampaikan ucapan ketika Program Jom Sembang Santai Kenali Calon Ahli Parlimen Belia Malaysia di sebuah restoran di sini pada Ahad.
Muhammad Puhaz (kanan) menyampaikan ucapan ketika Program Jom Sembang Santai Kenali Calon Ahli Parlimen Belia Malaysia di sebuah restoran di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Seramai 21 calon sedang giat berkempen merebut tujuh tempat mewakili negeri Perak bagi Parlimen Belia Malaysia.

Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Muhammad Puhaz Salleh berkata, jumlah calon itu membuktikan persaingan sihat ditampilkan oleh belia-belia yang menawarkan diri.

Menurutnya, kesemua calon berbilang kaum dan mempunyai pelbagai latar belakang dengan usia di antara 21 hingga 30 tahun.

"Kita amat mengalakkan penyertaan mereka ini untuk menimba pengalaman dalam proses demokrasi meskipun pemilihan Parlimen Belia ini tidaklah seperti memilih ahli Parlimen sebenar.

"Apa yang pasti, kesemua calon menampilkan manifesto yang menarik dan realistik untuk dicapai. Terpulanglah kepada pengundi berdaftar untuk memilih," katanya kepada pemberita ketika Program Jom Sembang Santai Kenali Calon Ahli Parlimen Belia Malaysia di sebuah restoran di sini pada Ahad.

Hadir sama pada program itu, Timbalan Presiden MBN Perak, Wan Mohammad Afiq Wan Aris Fathillah dan Naib Presiden MBN Perak, Muhammad Naim Al Amin Saharudin.

Muhammad Puhaz berkata, setakat ini lebih 1,000 belia di Perak telah mendaftar sebagai pengundi bagi Parlimen Belia Malaysia berkenaan.

Menurutnya, pengundian dijadual bermula pada 11 Julai untuk mereka memilih tujuh calon mewakili Perak sebagai Ahli Parlimen Belia.

MUHAMMAD NUFAIL AIDID
MUHAMMAD NUFAIL AIDID

Sementara itu bagi calon termuda, Muhammad Nufail Aidid Azizul Kama, 21, keputusan menawarkan diri bertanding kerana mahu suara anak muda terus diberikan perhatian oleh semua pihak.

Katanya, idea dan cadangan dikemukakan oleh anak muda boleh membantu negara untuk menyusun pembangunan masa hadapan.

Seorang lagi calon, S Thaneshwaran, 23, berkata, platform Parlimen Belia Malaysia itu boleh digunakan untuk membantu meningkatkan penglibatan belia dalam pelbagai program disediakan kerajaan.

Dengan pengalaman di dalam Majlis Belia India Malaysia (MIYC) dan pernah menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Perak sebelum ini mampu meraih sokongan seterus mengisi salah satu tempat sebagai Ahli Parlimen Belia.

Pada program berkenaan juga, seramai 12 calon tampil memperkenalkan diri serta mengumumkan manifesto masing-masing.