PRU15: Salah faham punca pengundi beratur panjang

Muhammad Ikmal menunjukkan arah laluan kepada salah seorang pengundi di luar kawasan pembuangan undi pada Sabtu.
Muhammad Ikmal menunjukkan arah laluan kepada salah seorang pengundi di luar kawasan pembuangan undi pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Salah faham berhubung laluan saluran mengundi antara punca pengundi Parlimen Kota Raja terpaksa beratur panjang lebih dari 500 meter di luar kawasan pembuangan undi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Batu Ampat, Klang, Selangor.

Salah seorang Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Muhammad Ikmal Jamali, 19, berkata, sebanyak lapan laluan saluran telah disediakan bagi melancarkan proses pengundian di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pengundi sepatutnya boleh terus masuk beratur mengikut saluran masing-masing dengan menunjukkan nombor giliran serta saluran yang telah dinyatakan di sistem SPR dalam talian.

"Sebenarnya laluan yang pengundi beratur panjang itu adalah saluran dua. Sebab ada pengundi yang kena beratur melalui saluran lain.

"Dalam jam 9 tadi, baru mereka tahu yang tidak perlu beratur panjang pun jika mereka sudah tahu saluran mana," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Ulas Muhammad Ikmal, masih ramai lagi pengundi yang tidak tahu cara untuk semak saluran dan nombor giliran mereka menggunakan platform semakan dalam talian.

"Kebanyakannya mungkin tidak boleh semak secara dalam talian kerana faktor usia. Bila sampai sini, baru mereka tahu saluran ke berapa.

"Faktor lain juga adalah disebabkan kita kekurangan staf untuk kita terangkan pada pengundi bagaimana hendak beratur secara lebih cepat.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan ingat laluan (saluran dua) ini adalah laluan untuk semua saluran jadi sebab itu beratur panjang," katanya.

Kawasan pembuangan undi tersebut mula dibuka untuk pengundi pada jam 8 pagi.

Kerusi Parlimen P111 Kota Raja menyaksikan pertandingan lapan penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penyandang kerusi tersebut, Mohamad Sabu dari Pakatan Harapan (PH) yang turut dicalonkan semula dicabar oleh calon Perikatan Nasional (PN), Mohamed Diah Baharun; Gerakan Tanah Air (GTA), Fahmi Bazlan Muda dan Barisan Nasional (BN), Kajendran Doraisamy.