Sanusi perbetul salah faham isu lombong haram di Kedah

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan yang mengatakan kebanyakan tapak perlombongan haram di negara ini berada di Kedah.

Muhammad Sanusi juga menafikan dakwaan tersebut dinyatakan sendiri oleh beliau dalam Mesyuarat Majlis Mineral Negara yang diadakan pada Isnin.

Menurutnya, terdapat salah faham berkenaan jumlah tapak lombong haram yang didedahkan dan beliau mahu memperbetulkan fakta yang tular sejak Isnin.

“Ini satu kewajipan membetulkan salah maklumat yang ditularkan oleh pengerusi Mesyuarat Majlis Mineral Negara.

“Dalam sidang akhbar, terdapat salah faham oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tentang jumlah lombong haram seluruh negara yang saya sebutkan, iaitu 60 lombong haram bukan hanya di Kedah,” katanya menerusi Facebook miliknya pada Selasa.

Muhammad Sanusi menegaskan tidak berniat untuk mendedahkan rahsia sulit negara apabila membangkitkan perkara itu, susulan Fadillah salah faham mengenai jumlah lombong haram di seluruh negara yang disebutnya dalam mesyuarat berkenaan.

“Saya sekadar mahu perbetulkan maklumat salah yang tular ketika ini. 60 lombong haram yang saya sebutkan itu adalah daripada sumber agensi tertentu yang sampai kepada saya. Jumlah itu bukan hanya tertumpu di Kedah tetapi di seluruh negara.

“Hal ini diakui benar oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KetSA) dalam mesyuarat itu,” katanya.

Menurut Muhammad Sanusi, penjelasan ini bukan berhasrat untuk mendedahkan rahsia sulit negara, sebaliknya memperbetulkan salah faham berhubung fakta yang dikeluarkan.

Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri mendakwa terdapat 60 tapak perlombongan haram di negara ini yang kebanyakannya melibatkan nadir bumi yang mana paling banyak berada di Kedah selain dakwanya perkara itu diakui Muhammad Sanusi dalam mesyuarat tersebut.

Dalam pada itu Muhammad Sanusi memaklumkan, penceroboh yang terlibat dalam kegiatan perlombongan haram di Kedah sebelum ini sudah pun didakwa dan dikenakan tindakan.

“Lombong haram di Kedah yang ‘popular’ itu sudah dicekup dan didakwa.

“Maknanya yang masih beroperasi itu ada di tempat lain, bukan 'berlambak' di Kedah. Kalau ada betul lombong haram di Kedah, 'pakar geologi dan lombong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah raya sakan,” ujarnya.

Pada 3 Oktober tahun lalu, media melaporkan kegiatan mencuri unsur nadir bumi (REE) melibatkan kerugian besar kepada negeri dan negara yang berlaku di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Bagaimanapun, selepas pendedahan dibuat seramai 50 individu termasuk warga asing ditahan dalam operasi diketuai Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) kerana disyaki mencuri REE di hutan simpan tersebut.

Pada 13 April lalu, seramai 40 individu termasuk 35 warga asing dari China, Nepal dan Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Baling atas kesalahan menceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).