1,880 ahli Bersatu Dungun umum keluar parti

DUNGUN - Seramai 1,880 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Dungun mengumumkan keluar parti dan melepaskan semua jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.
Bekas Ketua Bersatu Bahagian Dungun, Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara menerusi satu perjumpaan musyafahah yang melibatkan seluruh jawatankuasa di peringkat bahagian dan cawangan.
Menurutnya, tindakan itu turut melibatkan pembubaran jawatankuasa di ketiga-tiga peringkat sayap parti iaitu Armada, Srikandi dan Srikandi Muda.
"Alhamdulillah, dalam perjumpaan secara musyawarah hari ini, semua jawatankuasa telah bersetuju untuk membubarkan jawatankuasa di ketiga-tiga peringkat.
"Dengan kehadiran semua kepimpinan pada hari ini, keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara bagi menyatakan pendirian kami," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz menjelaskan bahawa tindakan tersebut melibatkan ahli daripada 13 cawangan aktif yang berada di bawah pentadbiran Bahagian Dungun.
Ujarnya, keputusan drastik itu diambil ekoran hilangnya kepercayaan dan sokongan terhadap kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Ahli bersama ketua cawangan telah bersetuju bahawa seramai 1,880 ahli akan keluar daripada parti hari ini. Sebelum ini pun, pihak bahagian telah memaklumkan bahawa kami tidak lagi menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dalam Bersatu," tegasnya.
Untuk rekod, sebelum pengumuman ini dibuat, Abdul Aziz merupakan antara sembilan Ketua Bahagian Bersatu yang telah dipecat oleh pucuk pimpinan parti kerana didapati melanggar disiplin parti.
Selain beliau, lapan lagi pemimpin yang terlibat dalam pemecatan tersebut ialah Mohd Hassuandi Hamzah (Larut), Yunus Nurdin (Libaran), Ahmad Nasir Mid (Selayang), Ahmad Ishak (Gopeng) dan Kamaruddin Majid (Teluk Intan).
Turut tersenarai ialah Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru), Ramlan Meon (Tangga Batu) serta Mohd Yunus Mhd Yusop (Tapah).
Dalam pada itu, Abdul Aziz turut memberi bayangan akan menyertai sebuah wadah politik baharu dalam masa terdekat di bawah kepimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
"Insya-Allah, kami yang diketuai oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin kini bersedia untuk berhijrah ke wadah baharu dan akan menyertai platform tersebut dalam masa terdekat.
"Pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat sendiri oleh Datuk Seri Hamzah nanti," katanya lagi.
Ringkasan AI
- Seramai 1,880 ahli Bersatu Bahagian Dungun mengumumkan keluar parti secara sebulat suara
- Tindakan itu merangkumi pembubaran jawatankuasa di semua peringkat sayap parti
- Keputusan keluar parti berpunca daripada hilangnya kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Abdul Aziz Ismail dan ahli-ahli Bersatu Bahagian Dungun berencana menyertai wadah politik baharu di bawah Datuk Seri Hamzah Zainudin
- Abdul Aziz merupakan antara sembilan Ketua Bahagian Bersatu yang telah dipecat sebelum pengumuman keluar parti dibuat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

