11 Ketua Bahagian Bersatu Johor letak jawatan: Keputusan politik dibuat secara konsensus

KLUANG - Seramai 11 Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yang mengumumkan peletakan jawatan menegaskan sebarang keputusan mengenai masa depan politik mereka akan dibuat secara konsensus bukannya secara individu.
Bekas Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru yang juga bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, Datuk Zulkifli Bujang memberitahu, mereka akan terus berbakti kepada masyarakat melalui platform-platform lain.
“Kami percaya untuk bergerak dalam satu kumpulan. Jika terdapat sebarang penawaran daripada parti-parti lain, perkara itu akan dibincangkan bersama.
"Kami tidak bergerak secara individu atau berpecah-pecah,” katanya pada sidang akhbar di Simpang Renggam di sini pada Khamis.
Mengulas soal hala tuju politik, beliau menjelaskan parti hanyalah sebuah platform, manakala perjuangan sebenar tetap kekal iaitu membela agama, bangsa dan tanah air.
“Perjuangan kita tetap satu dan tidak berubah. Apa jua platform yang dipilih nanti, matlamatnya adalah untuk memastikan kita terus mara membela nasib rakyat, bangsa dan tanah air,” katanya.
Ahad lalu, Zulkifli memaklumkan dirinya telah dipecat mendakwa pemecatan keahlian beliau oleh Lembaga Disiplin parti tanpa melalui proses disiplin yang telus dan adil.
Menurutnya lagi, beliau hanya dimaklumkan berhubung perkara itu melalui aplikasi WhatsApp tanpa diberi peluang untuk membela diri.
Zulkifli merupakan salah seorang daripada 17 ahli Bersatu termasuklah timbalan presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat atas dakwaan telah melanggar Perlembagaan Bersatu.
Ringkasan AI
- 11 Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia Johor telah mengumumkan peletakan jawatan
- Keputusan mengenai masa depan politik mereka akan dibuat secara konsensus
- Mereka akan terus berbakti kepada masyarakat melalui platform lain
- Perjuangan mereka tetap sama yaitu membela agama, bangsa dan tanah air
- Zulkifli Bujang telah dipecat daripada parti tanpa proses disiplin yang telus dan adil
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


