PRU15: 'Janji bina sekolah tapi hanya pokok, hutan naik'

Penduduk sekitar bandar Serendah dan Jawatankuasa Bertindak Selamatkan SJKT Serendah (Save) tampil menyatakan kesangsian mereka terhadap kenyataan tersebut menerusi satu himpunan aman di tapak pembinaan SJKT Ladang Minyak Serendah pada Jumaat.
Penduduk sekitar bandar Serendah dan Jawatankuasa Bertindak Selamatkan SJKT Serendah (Save) tampil menyatakan kesangsian mereka terhadap kenyataan tersebut menerusi satu himpunan aman di tapak pembinaan SJKT Ladang Minyak Serendah pada Jumaat.
A
A
A

SERENDAH – Isu pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Minyak Serendah yang dibangkitkan semula menjelang hari terakhir kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menarik perhatian penduduk apabila segelintirnya turut mempersoalkan kebenaran berhubung perkara itu.

Jawatankuasa Bertindak Selamatkan SJKT Serendah (Save) turut tampil menyatakan kesangsian mereka terhadap kenyataan tersebut memandangkan ia bukan 'isu serpihan' kerana telah berada dalam perhatian dan tindakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Setiausaha Save, R Murugan, 46, mendakwa, majlis pecah tanah pembinaan sekolah tersebut juga telah dua kali dilakukan iaitu pada 2012 oleh Muhyiddin sendiri dan pada 2015 oleh bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan yang merupakan bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor.

Kini, Murugan berkata, isu itu dibangkitkan sekali lagi calon BN Parlimen Hulu Selangor, Datuk T Mohan yang dikatakan mahu membawa penyelesaian kepada projek itu yang menelan kos keseluruhan RM6.4 juta.

“Kali pertama majlis pecah tanah dibuat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri masa itu, Tan Sri Muhyiddin tapi sekolah tak bangun (tidak dibina).

“Kemudian kita tunggu 2015, Timbalan (Menteri) Pendidikan masa itu datang buat satu pecah tanah dan penduduk diberitahu pembinaan akan bermula selepas semua proses selesai dalam tempoh dua minggu (dari tarikh pecah tanah).

“Kita tunggu, tunggu, tunggu... hanya pokok dan hutan saja naik, tapi sekolah tidak dibangunkan,” katanya kepada media ketika mengadakan satu himpunan aman di tapak pembinaan sekolah berkenaan hari ini.

Murugan berkata, isu pembinaan sekolah itu dibangkitkan semula calon BN menerusi sebuah akhbar berbahasa Tamil.

Artikel Berkaitan:

Dr Sathia bersama penduduk di Serendah dan Save ketika mengadakan himpunan aman di tapak pembinaan SJKT Ladang Minyak Serendah pada Jumaat.
Dr Sathia bersama penduduk di Serendah dan Save ketika mengadakan himpunan aman di tapak pembinaan SJKT Ladang Minyak Serendah pada Jumaat.

Beliau berkata, penduduk tidak boleh terus dipermainkan kerana ‘bukti peninggalan’ projek itu dapat dilihat sehingga kini apabila hanya tiang cerucuk dan papan tanda projek yang kekal di tapak pembinaan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Save, M Jeevah, 48, berkata, beliau antara individu yang berurusan terus di pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan untuk menyelesaikan isu tersebut sebelum ini selain turut membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) berikutan dana pembinaan projek tersebut dipercayai telah disalurkan termasuk dua kali majlis pecah tanah.

Bagaimanapun, semua usaha tersebut seperti tidak jalan dan tiada kesudahan sehingga kini.

Dalam pada itu, calon Parlimen daripada Pakatan Harapan, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, beliau terkilan melihat situasi tersebut yang berlarutan tanpa penyelesaian lebih 11 tahun.

Katanya, Hulu Selangor pernah mempunyai seorang Timbalan Menteri Pendidikan namun isu ini tetap gagal diselesaikan.

“Selalu bila datang pilihan raya (berjanji) saya akan tunaikan, tapi bagaimana nak tunaikan kerana setahu saya kerja-kerja asas telah dibuat tapi sekarang sudah jadi hutan.

“Masalah apa? Jangan buat janji kosong! Itu yang paling penting, setiap kali pilihan raya kita dapati benda yang sama," katanya.

Bagi menyelesaikan isu tersebut, Dr Sathia bercadang untuk membangunkan sebuah sekolah Bantuan Penuh Kerajaan bagi keselesaan pelajar dan guru.

Menurutnya, jika diberi mandat mewakili rakyat di kawasan itu beliau akan memastikan Kementerian Pendidikan akan membina sekolah tersebut.