Perak sudah hantar permohonan atasi sekolah daif

Khairudin (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Program Gotong-Royong Madani Peringkat Negeri Perak di SK Seri Klebang dekat Ipoh pada Selasa.
Khairudin (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Program Gotong-Royong Madani Peringkat Negeri Perak di SK Seri Klebang dekat Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak telah menghantar permohonan peruntukan kepada kerajaan bagi kerja naik taraf sekolah-sekolah uzur.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, tumpuan diberikan terhadap sekolah yang berdepan masalah bilik darjah tidak selamat dan bilik-bilik khas yang mengalami kerosakan teruk.

"Keutamaan kita kepada sekolah daif yang membantutkan proses pembelajaran dan menyebabkan keadaan murid tidak selesa seperti kipas tidak berfungsi, lampu tidak menyala dan masalah pendawaian elektrik.

"Fokus kita keselamatan pelajar kerana selain memastikan mereka selesa, penyelenggaraan dilakukan adalah untuk memastikan mereka selamat tanpa apa-apa isu lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-Royong Madani Peringkat Negeri Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Klebang di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Perak, Mohamad Fauzi Mahson.

Khairudin (kanan) bersama Mohamad Fauzi ketika menyertai Program Gotong-Royong Madani Peringkat Negeri Perak di SK Seri Klebang dekat Ipoh pada Selasa.
Khairudin (kanan) bersama Mohamad Fauzi ketika menyertai Program Gotong-Royong Madani Peringkat Negeri Perak di SK Seri Klebang dekat Ipoh pada Selasa.

Khairudin berkata, pemantauan dan penilaian berterusan akan dilakukan jabatan teknikal terlibat bagi menentukan tahap-tahap kedaifan sesuatu bangunan sekolah yang perlu diberikan keutamaan.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi peruntukan, memang kita tidak mampu menyelesaikan semua masalah sekolah daif kerana itu keutamaan kita berdasarkan bangunan dan prasarana di sekolah yang betul-betul daif," katanya.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini memberi jaminan tidak akan mengabaikan isu sekolah daif meskipun terdapat dakwaan mengenai kegagalan kerajaan untuk memberikan peruntukan.

Kerajaan telah memperuntukkan RM6.5 bilion bagi pelaksanaan projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah melibatkan 1,002 projek di seluruh negara sejak dari 2016 hingga 2023.

Sementara itu, Khairudin berkata, sehingga kini, 30 peratus sekolah di Perak telah melaksanakan program gotong-royong bermula Julai lepas menggunakan peruntukan disalurkan kementerian.

Katanya, program yang berteraskan 3K iaitu kebersihan, keselamatan dan keceriaan itu antara lain bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif serta menarik minat pelajar datang ke sekolah.

"Secara tidak langsung dapat wujudkan jalinan hubungan cukup baik dengan komuniti setempat, agensi kerajaan dan swasta yang turut sama menyertai gotong-royong," katanya.