Semakan semula hukuman bekas pengarah Genneva Gold ditolak

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Empat bekas pengarah firma pelaburan emas Genneva Sdn Bhd yang disabitkan kesalahan pengubahan wang haram serta menerima deposit tanpa lesen bernilai lebih RM200 juta terpaksa terus meringkuk dalam penjara selepas gagal dalam permohonan untuk semakan semula sabitan dan hukuman penjara lapan tahun.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Mohamad Zabidin Mohamad Diah dan Datuk Yew Jen Kie membuat keputusan sebulat suara ketika menolak permohonan empat lelaki terbabit.

Ng Poh Weng, 68; Datuk Marcus Yee Yuen Seng, 66; Chin Wai Leong, 42 dan Liew Chee Wah, 64, membuat permohonan agar Mahkamah Rayuan menyemak semula keputusan panel tiga hakim mahkamah itu sebelum ini yang mensabitkan serta menjatuhkan hukuman penjara terhadap mereka atas kesalahan berkenaan.

Pada 4 Januari tahun lepas, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas mereka selain denda RM1 juta setiap seorang.

Jen Kie ketika menyampaikan keputusan panel hakim, berkata perayu menggunakan permohonan semakan semula supaya merit rayuan dibicarakan semula serta membuka dan menyemak semula keputusan akhir panel mahkamah rayuan terdahulu.

Beliau berkata perayu dimaklumkan tentang butiran 154 lagi pertuduhan terhadap mereka di mahkamah serta butiran 70 pertuduhan defektif terhadap mereka yang ditarik balik oleh pendakwaan.

“Kami tidak yakin kes termasuk dalam keadaan luar biasa untuk mewajarkan semakan semula sabitan,” katanya, menambah perayu juga tidak mengemukakan sebarang keadaan luar biasa untuk menyemak semula hukuman terhadap mereka.

Kesemua lelaki terbabit didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan terhadap 154 pertuduhan pengubahan wang haram di Menara Public Bank, Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara Julai 2008 dan Jun 2009 serta empat pertuduhan menerima deposit secara haram menurut Akta Perbankan dan Institusi Kewangan di premis syarikat di Jalan Kuchai Maju 6, Kuala Lumpur antara November 2008 dan Julai 2009.

Artikel Berkaitan:

Masing-masing dipenjarakan lima tahun serta denda RM1 juta atau penjara setahun bagi kesalahan menerima deposit tanpa lesen, serta tiga tahun penjara untuk kesalahan pengubahan wang haram. Kedua-dua hukuman berjalan secara berturut-berturut.

Mahkamah Rayuan juga mensabitkan Genneva Sdn Bhd dengan lima pertuduhan menerima deposit daripada orang ramai tanpa lesen serta mengenakan denda RM2 juta ke atas syarikat.

Pada mulanya keempat-empat mereka dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2013 dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2016. Bagaimanapun keputusan tersebut diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada 12 Disember 2017 susulan rayuan pendakwaan. - Bernama