31 penjaja guna siar kaki pasar raya, berniaga tanpa lesen

Khemah penjaja yang dipasang di hadapan pasar raya berkenaan.
Khemah penjaja yang dipasang di hadapan pasar raya berkenaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan atau lesen terhadap penjaja yang menjalankan aktiviti perniagaan di ruang hadapan Pasar Raya AJ Best di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Chow Kit).

DBKL dalam satu kenyataan berkata, bancian pada Ogos 2019 merekodkan seramai 31 penjaja menjalankan aktiviti di siar kaki bangunan tersebut.

Menurutnya, aktiviti penjajaan di kawasan itu bermula apabila penjaja dalam bangunan pasar raya berkenaan terpaksa keluar bagi memberi ruang kerja baik pulih dijalankan.

"Bangunan yang terletak di No 483, Jalan Tuanku Abdul Rahman bersebelahan Arked Bazar Sudirman ini dahulunya dikenali dengan Bazar Uda Ocean (UO) dan telah diambil alih oleh syarikat AJ Best sejak April 2019.

"Terdapat seramai 13 penjaja yang menjalankan perniagaan di dalam bangunan pasar raya ini terpaksa keluar disebabkan kerja-kerja baik pulih yang hendak dilaksanakan oleh pemilik baharu bangunan tersebut (AJ Best)," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, penjaja berkenaan terpaksa membuat penempatan sementara di siar kaki luar bangunan tersebut setelah menerima notis penutupan bagi membolehkan kerja baik pulih dilaksanakan.

"Mereka juga telah ditawarkan untuk memasuki semula bangunan tersebut namun enggan berbuat demikian walaupun kerja baik pulih telah siap sepenuhnya.

"Bancian merekodkan seramai 31 penjaja menjalankan aktiviti di situ namun tiada sebarang kelulusan dikeluarkan dan juga tiada permohonan lesen dikemukakan kepada DBKL," katanya.

DBKL turut memaklumkan penjaja tersebut tidak terlibat dalam pemindahan ke bangunan baru Pasar Raja Bot yang masih dalam proses pembinaan.

"Begitupun, DBKL sedang mengenal pasti status terkini bilangan penjaja di lokasi tersebut dan akan melesenkan penjaja-penjaja yang layak untuk ditempatkan di lokasi yang bersesuaian," katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Persatuan Hak Masyarakat Malaysia, Mustafa Khan menerusi satu video yang dikongsikan di media sosial meminta DBKL mengambil tindakan ke atas perniagaan warga asing tanpa lesen yang memenuhi ruang hadapan pasar raya tersebut.

Aktiviti penjajaan itu telah menyebabkan halangan dan kerugian kepada perniagaan dalam premis.

Beliau mendakwa penjaja telah membayar duit kepada persatuan peniaga di kawasan itu menyebabkan tiada sebarang tindakan penguatkuasaan diambil walaupun telah beroperasi selama beberapa tahun.