PRU15: Pengundi Johor masih belum dapat bayangan

Johor merupakan antara negeri sasaran utama kesemua parti politik kerana mempunyai jumlah kerusi Parlimen kedua terbanyak di Malaysia dengan jumlah 26 kerusi. - Gambar hiasan
Johor merupakan antara negeri sasaran utama kesemua parti politik kerana mempunyai jumlah kerusi Parlimen kedua terbanyak di Malaysia dengan jumlah 26 kerusi. - Gambar hiasan
A
A
A

DALAM tempoh lapan, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung, pengundi di negeri ini sekali lagi akan menjalankan tanggungjawab memilih kerajaan baharu Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Johor merupakan antara negeri sasaran utama kesemua parti politik kerana mempunyai jumlah kerusi Parlimen kedua terbanyak di Malaysia dengan jumlah 26 kerusi.

Tidak hairanlah, sasaran yang diletakkan setiap gabungan parti seperti Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) bagi memenangi kerusi Parlimen di negeri ini cukup tinggi.

Hampir setiap parlimen menyaksikan pertembungan empat penjuru di mana Parlimen Ledang mencatatkan pertembungan paling ramai calon iaitu enam penjuru.

Mengikut statistik, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 96 calon dari tujuh parti politik dan bebas bertanding di 26 Parlimen di Johor pada PRU15.

Lebih menarik lagi pertembungan nama-nama besar turut berlaku di Johor pada PRU15 kali ini membabitkan Pagoh, Simpang Renggam, Ayer Hitam, Sembrong, Muar, Kota Tinggi dan Parit Sulong.

Paling mencuri tumpuan sudah pasti Parlimen Pagoh yang menyaksikan bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pemimpin tidak asing daripada BN, Datuk Seri Razali Ibrahim serta seorang calon Pakatan Harapan (PH), Iskandar Shah Abd. Rahman.

Selain itu beberapa kerusi Parlimen yang menjadi tumpuan ialah Sembrong, (Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein); Ayer Hitam (Menteri Pengangkutan); Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Presiden MCA); Simpang Renggam (bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik) dan Muar (Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman).

Artikel Berkaitan:

Kempen PRU15 kini semakin rancak dengan setiap parti dilihat mula meningkatkan 'gear masing' selain perang bendera dan poster serta kain pemidang menyaksikan suasana di bandar mahupun luar bandar cukup meriah.

Malah kempen yang dilakukan BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) semakin panas, apabila nama-nama besar diturunkan.

Ia termasuklah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Kehadiran Perdana Menteri ke Parlimen Ayer Hitam pada Rabu lalu di kawasan yang ditandingi Ka Siong paling mencuri tumpuan memandangkan parlimen tersebut menyaksikan persaingan sengit antara BN, PH- DAP dan PN.

Pada PRU14 lalu, Ka Siong mempertahankan Ayer Hitam selepas menewaskan calon DAP Liew Chin Tong dengan majoriti undi 303 undi, kali ini berdepan calon Melayu dari DAP iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali.

Adakah nama-nama besar yang turun berkempen ini membantu menarik pengundi terutama di kerusi yang belum ada tanda-tanda jelas untuk dimenangi oleh mana-mana gabungan politik.

Bagaimanapun, Pengerusi BN dan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad menyatakan BN tidak bermula dengan kosong kerana menang dalam PRN baru-baru ini selain sudah mempunyai pengundi tegar di negeri ini.

Justeru calon BN di Parlimen Simpang Renggam ini yakin Johor akan kembali menjadi kubu kuat BN berdasarkan kepada keputusan PRN Mac lalu menyaksikan gabungan itu berjaya memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Kemenangan selesa dua pertiga itu memboleh BN membentuk kerajaan negeri yang baharu dan mengangkat orang muda sebagai Menteri Besar yang baharu.

Pastinya berbekalkan kemenagan itu, BN mempunyai strategi sendiri dan mengatur gerak kerja sebaik mungkin bagi memastikan kejayaan pada PRN Johor mampu diulangi pada PRU15 kali ini.

Selain faktor parti, pengundi di negeri ini turut melihat kepada faktor calon yang bersih, berintegriti dan juga manifesto yang ditawarkan setiap gabungan dan parti politik.

Kebanyakkan kawasan di Johor terutama di bandar seperti di Pasir Gudang dan Johor Bahru mula didominasi golongan muda termasuk mereka yang merantau mencari rezeki ke Singapura, justeru faktor calon tidak boleh dipandang mudah.

Antara calon terdiri daripada orang muda dan muka baharu ialah Noor Azleen Ambros ( BN- Pasir Gudang), Johan Ariffin Mohd. Ropi ( BN- Johor Bahru), Fatin Zulaikha Zaidi (DAP- Mersing) Mohamad Ridhuan Bin Rasman ( PN- Kota Tinggi), Muhammad Syafiq A Aziz (PN- Ayer Hitam), Sheikh Omar Bagharib Ali (DAP- Ayer Hitam), Lim Wei Jiet ( Muda- Tanjung Piai).

Bukan sahaja manifesto yang ditawarkan setiap gagasan politik yang bertanding dalam PRU15 dipandang dan diteliti pengundi, tetapi mereka turut melihat pembaharuan serta azam yang dibawa seseorang calon dalam membantu menyelesaikan isu rakyat.

Antara isu yang mendapat perhatian di negeri ini ialah banjir, sistem perparitan, talian internet di luar bandar, akses jalan raya yang lebih baik serta peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Kempen yang berbaki kurang seminggu, sudah akan digunakan oleh setiap calon dan gabungan parti untuk memperhebatkan kempen bagi menarik pengundi.

Begitu juga pengundi yang mula membuat semak dan imbang siapa yang akan dipilih pada 19 November nanti.