PN sedia manifesto setiap negeri PRN

Ahmad Faizal bercakap kepada pemberita pada Ahad.
Ahmad Faizal bercakap kepada pemberita pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Perikatan Nasional (PN) menyediakan enam manifesto yang realistik bagi setiap negeri menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, manifesto berkenaan diletakkan sebagai perkara penting untuk ditunaikan kepada rakyat terutama apabila tertubuhnya kerajaan negeri.

"Dari segi maklum balas yang kita terima daripada pengundi di enam negeri ini amat positif.

"Bagaimanapun kita tidak boleh begitu selesa dan perlu menyediakan satu manifesto bagi setiap negeri yang diadakan PRN.

"Kita yakin, jika kita beri tumpuan kerja untuk mendekati rakyat, menyampaikan perkara-perkara yang dihasratkan rakyat, kita akan dapat sokongan pengundi di keenam-enam negeri ini, Insya-ALLAH," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Berbuka Puasa bersama Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi Cawangan Bersatu Parlimen Tambun di sini pada Ahad.

Bekas Ahli Parlimen Tambun itu berkata, fokus PN sekarang untuk menggerakkan jentera di keenam-enam negeri terlibat.

Dalam hal itu katanya, jentera dari negeri lain yang tidak bertanding pilihan raya akan diselaraskan membentuk kerjasama menghadapi PRN.

"Dari segi pembahagian kerusi, tidak ada masalah besar untuk kita kerana telah pun ada persetujuan dan persepakatan antara rakan-rakan komponen.

"Kami nampak apabila UMNO dan DAP bekerjasama rapat, sokongan kepada PN terutama Pas dan Bersatu ada peningkatannya," katanya.

Pada Februari lepas, enam negeri sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun depan bagi memberi laluan kepada PRN.

Negeri-negeri berkenaan ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis; Perak (26/59); Pahang (17/42), Melaka (2/28); Johor (3/56) dan Sabah (17/73) sementara tidak bertanding dalam PRN Sarawak.

PN telah membentuk pentadbiran kerajaan negeri di empat negeri masing-masing di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.