PRU15: Jumaat, Sabtu hari kelepasan am

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jumaat dan Sabtu ini diisytiharkan sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan rakyat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan untuk turut mengisytiharkan Sabtu sebagai kelepasan am selepas mengambil kira kemungkinan terdapat syarikat swasta terutamanya kilang yang tidak menutup operasi mereka.

"Ini menyebabkan pekerja tidak boleh mengundi yang mana ia adalah hak individu yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam ucapan majlis pecah tanah tapak Wisma Cuepacs Putrajaya, di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam, Datuk Adnan Mat.

Menurutnya, kerajaan juga bersetuju supaya tarikh pembayaran gaji untuk penjawat awam bagi bulan November diawalkan pada 17 November manakala bayaran pencen diawalkan pada 14 November.

"Perkara ini diharap dapat meringankan beban kos penjawat awam yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 30 syarikat konsesi lebuh raya telah bersetuju menawarkan kadar tol percuma selama dua hari kepada pengguna sempena PRU15.

"Tol percuma tersebut bermula jam 12.01 tengah malam Jumaat hingga 11.59 malam Sabtu melibatkan semua kenderaan jenis persendirian kelas satu sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar Ismail Sabri, pengecualian bayaran tol tersebut melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM34.5 juta.

"Tawaran pemberian tol percuma ini diputuskan setelah mengambil kira cadangan dan rundingan yang melibatkan antara Kementerian Kerja Raya dengan semua syarikat pengendali konsesi lebuh raya pada minggu lalu," katanya.

Melalui inisiatif tersebut, beliau berkata, ia diharap dapat meringankan serba sedikit beban kewangan pengguna khususnya warganegara untuk pulang mengundi demi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

Dalam pada itu, sepanjang menerajui kerajaan, beliau sentiasa terbuka dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk mengemukakan apa jua

penambahbaikan perkhidmatan awam.

"Saya mengambil maklum mengenai beberapa permohonan daripada Cuepacs yang merangkumi pelbagai aspek kebajikan dan kesejahteraan anggota perkhidmatan awam seperti isu gaji minimum, time based dan sebagainya seperti yang disebut Adnan Mat (Presiden Cuepacs) sebelum ini," katanya.

Tambah Ismail Sabri, sokongan anggota penjawat awam yang sentiasa di belakang kerajaan akan mengembalikannya untuk bersama-sama memperhalusi satu- persatu penambahbaikan yang belum selesai.

"Akhir kata, saya menyeru ahli Cuepacs dan penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia dan saya yakin bahawa ‘Penjawat Awam adalah Tonggak Aspirasi Keluarga Malaysia," katanya.