PRU15: Majikan swasta perlu beri pelepasan pekerja mengundi

Bendera parti politik menghiasi sepanjang jalan raya. - Foto Bernama
Bendera parti politik menghiasi sepanjang jalan raya. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menggesa semua majikan dalam sektor swasta supaya memberi kebenaran kepada pekerja untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menterinya, M Saravanan berkata, ia selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].

Ujar beliau, majikan hendaklah berbincang dengan pekerja berkenaan opsyen sama ada memberikan ‘time-off’, hari pelepasan berganti atau cuti tahunan bagi membolehkan tanggungjawab itu dilaksanakan.

“Para majikan boleh mengambil langkah-langkah seperti memberi “time-off” kepada pekerja yang mengundi di tempat pengundian yang berdekatan atau memberi pelepasan kepada pekerja yang perlu mengundi di tempat pengundian yang jauh.

“Bagi pekerja yang memerlukan lebih daripada satu hari untuk ke tempat mengundi pula boleh mengambil cuti tahunan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan supaya kerajaan mengisytiharkan cuti khas pada 18 November iaitu sehari sebelum PRU15.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ia kerana ramai individu yang mengundi bukan di lokasi bekerja dan terdapat dalam kalangan mereka terpaksa melakukan perjalanan lebih daripada empat jam bagi menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

Sementara itu, Saravanan menegaskan bahawa majikan tidak dibenarkan untuk mengenakan sebarang penalti atau memotong gaji pekerja yang tidak hadir bekerja kerana mengundi.

Artikel Berkaitan:

“Mana-mana majikan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah subseksyen 25(1) Akta 5 boleh didakwa dan didenda RM5,000 atau penjara setahun jika disabitkan kesalahan,” jelas beliau.