PRU15: Lima ditahan, 17 kertas siasatan dibuka

Kamarul Zaman (kiri) meninjau persiapan undi awal di Dewan IPK Johor pada Isnin.
Kamarul Zaman (kiri) meninjau persiapan undi awal di Dewan IPK Johor pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan lima individu disyaki melakukan pelbagai kesalahan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula pada hari penamaan calon pada 5 November hingga Ahad.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam tempoh yang sama sebanyak 70 laporan polis telah diterima dengan sejumlah 17 kertas siasatan telah dibuka.

"Sebanyak sembilan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melibatkan kesalahan melakukan perbuatan khianat terhadap bendera dan poster calon bertanding.

"Polis Johor turut mengeluarkan 1,927 permit kepada calon-calon PRU15 di negeri ini untuk berkempen, dengan lima daripadanya ditolak.

"Penolakan tersebut dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk aspek keselamatan, selepas penerangan diberikan kepada calon bertanding, mereka memahami dan tiada sebarang isu berbangkit timbul," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Isnin.

Menurut Kamarul Zaman, sepanjang tempoh PRU15, sebanyak 81pasukan Op Cantas Khas digerakkan melibatkan 81 pegawai dan 237 anggota yang berperanan melakukan risikan dan pemantauan bagi mengelakkan sebarang kekacauan.

Tambahnya lagi, seramai 22,689 individu yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan akan mengundi awal dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Johor esok.

Artikel Berkaitan:

Katanya, daripada jumlah itu seramai 11,544 orang merupakan warga PDRM Johor.

“Sebanyak 63 pusat mengundi dengan 86 saluran akan disediakan. Ia termasuk Dewan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, dewan-dewan ibu pejabat polis daerah, kem Pasukan Gerakan Am dan kem tentera," katanya.