'Kami baik-baik saja di PPS'

Norhashimah (depan) bersama anak-anak membawa khemah yang disediakan di PPS. (Gambar kecil: Amira)
Norhashimah (depan) bersama anak-anak membawa khemah yang disediakan di PPS. (Gambar kecil: Amira)
A
A
A

RANTAU PANJANG - Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periuk di sini tidak menghadapi masalah berada di situ.

Mereka dibekalkan dengan khemah dan peralatan keperluan harian bagi memudahkan pembersihan diri selain bekalan makanan.

Suri rumah, Azilawati Salleh, 44, membawa empat anaknya berusia lapan hingga 23 tahun ke PPS itu selepas air mulai naik sejak Sabtu.

Dia yang tinggal di Kampung Bawah Lembah Gual Periuk itu bagaimanapun perlu memberi perhatian kepada anaknya, orang kurang upaya (OKU), Muhamad Hafiz Khairan Azmi, 21.

"Saya selesa menguruskan anak-anak di sini kerana kemudahan kepada mangsa banjir turut disediakan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Berkongsi pengalamannya berpindah, Azilawati berkata, sebelum tiba di PPS, mereka dibantu kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang kebetulan memantau kawasan berkenaan.

Azilawati tidak menghadapi masalah menjaga Muhamad Hafiz Khairan sepanjang dua hari di PPS.
Azilawati tidak menghadapi masalah menjaga Muhamad Hafiz Khairan sepanjang dua hari di PPS.

"Ketika itu suami saya sedang mendayung perahu sejauh 300 meter dari rumah ke jalan raya, tiba-tiba muncul kenderaan pacuan empat roda JPS yang kemudiannya membawa kami ke sini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Azilawati, rumahnya dinaiki air sedalam 1.5 meter setiap kali banjir.

Sementara itu, mangsa banjir dari Taman Gemilang, Gual Periuk, Amira Abd Yunus, 32, berpindah ke PPS itu bersama suaminya, Ismail Mamat, 43, dan tiga anak berusia lima hingga 14 tahun.

Suri rumah itu berkata, semua dokumen penting dan barangan sudah dikemaskan sehari lebih awal bagi memudahkan mereka berpindah jika air naik mendadak.

"Banjir pada Februari lalu menyebabkan rumah saya dinaiki air sedalam hampir satu meter dan kami berpindah lebih awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Amira memberitahu, mereka sekeluarga tidak menghadapi masalah untuk tinggal di PPS kerana kelengkapan disediakan termasuk khemah yang selesa.

Selain itu, Norhashimah Mohamed, 52, pula mengambil keputusan berpindah apabila air semakin naik sejak Sabtu walaupun hujan tidak lebat.

Katanya, kesemua tiga anaknya berusia 13 hingga 32 tahun turut berpindah kerana air sedalam 0.5 meter memenuhi ruang dapur.

"Beberapa barang sudah rosak termasuk dua almari yang baharu dibeli. Kami tidak sempat mengangkat perabut yang besar dan berat selepas melihat paras air semakin tinggi," jelasnya.

Norhashimah yang juga suri rumah memaklumkan banjir kali ini lebih awal berbanding tahun sebelumnya iaitu pada pertengahan Disember.