PRU15: Tempuh perjalanan lebih 130km demi dekati pengundi

Matbali yang menaiki pacuan empat roda merentas jambatan yang dilimpahi arus deras di Sungai Meligan ketika melakukan jelajah kempen di Long Pasia, Sipitang.
Matbali yang menaiki pacuan empat roda merentas jambatan yang dilimpahi arus deras di Sungai Meligan ketika melakukan jelajah kempen di Long Pasia, Sipitang.
A
A
A

SIPITANG - Merentas jambatan dilimpahi arus deras selain terpaksa melalui jalan mencabar dengan menaiki pacuan empat roda disebabkan laluan yang tidak berturap bukan penghalang untuk calon yang bertanding di Parlimen Sipitang menyantuni pengundi di kawasan pedalaman di Long Pasia.

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Matbali Musah, 53, yang sudah beberapa kali tiba di Long Pasia menganggap perjalanan sejauh lebih 130 kilometer itu bukan perkara baharu baginya.

Katanya, keadaan jalan berlumpur, bertanah merah serta berbatu menguatkan lagi semangat beliau untuk membela nasib penduduk yang memerlukan pelbagai kemudahan infrastruktur di kampung berkenaan.

Saya sudah tiga kali ke Long Pasia ini dan ini bukan perkara baru pada saya. Pada tahun 2019, saya sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan ketika itu bersama bekas ahli Parlimen berada di sana.

"Sebelum itu, saya juga bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob pernah ke sana dan ia bukan perkara yang sukar untuk berada di kawasan pedalaman seperti ini kerana saya faham keadaan mereka sebab saya juga orang kampung dan orang susah, faham denyut nadi rakyat di kawasan ini," katanya kepada pemberita di Kampung Maligan di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perjalanan yang mencabar ketika berkempen di enam kampung di kawasan pedalaman iaitu membabitkan Kampung Mendulong, Kampung Ulu Bole, Kampung Iburuh, Kampung Meligan, Kampung Long Mio dan Kampung Long Pasia.

Dalam kempen kali ini, beliau turut mendapat sokongan daripada Dr Yusof, ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih dan bekas wakil rakyat kawasan berkenaan termasuk Datuk Jamilah Sulaiman.

Artikel Berkaitan:

Jentera warisan yang dipimpin Adnan (gambar kecil) dalam perjalanan ke Long Pasia dan terpaksa meredah laluan mencabar menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Gambar kecil: Adnan
Jentera warisan yang dipimpin Adnan (gambar kecil) dalam perjalanan ke Long Pasia dan terpaksa meredah laluan mencabar menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Gambar kecil: Adnan

Sementara itu, lain pula ceritanya calon Parti Warisan, Datuk Adnan Puteh, 63, yang pertama kali menjadi calon mengakui agak letih untuk berkempen namun itu bukan halangan untuknya meneruskan perjuangan demi merampas kerusi Parlimen Sipitang.

"Bagi saya bertanding ini adalah perkara baharu dan saya akui memang penat tetapi saya sudah tekad sebaik dicalonkan dan akan teruskan perjuangan.

"Sepanjang kempen ini jentera turut digerakkan dan saya sendiri sudah memasuki pelbagai pelusuk kawasan termasuk ke Long Pasia dan merasai sendiri keadaan jalan yang terpaksa ditempuh penduduk kampung.

"Keadaan jalan kayu balak yang amat licin, berlopak dan terdapat kawasan yang runtuh terutamanya ketika musim hujan sekali gus menimbulkan rasa kasihan dengan penduduk di sana dan bertekad akan membantu mereka jika berjaya menawan Parlimen Sipitang," katanya.

Matbali (duduk enam dari kiri) bersama penduduk Kampung Maligan, Sipitang.
Matbali (duduk enam dari kiri) bersama penduduk Kampung Maligan, Sipitang.

Dalam PRU kali ini, Matbali dan Adnan akan berhadapan saingan tiga penjuru termasuk seorang lagi calon dari Pakatan Harapan (PH). Lahirul Latigu.

Pada PRU14 yang lalu, kerusi Parlimen Sipitang dimenangi anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman iaitu Datuk Hafez Yamani dari BN.

Beliau berjaya menewaskan dua pencabar lain dari Warisan dan Parti Harapan Rakyat Sabah menerusi jumlah undi sebanyak 12,038 dengan jumlah majoriti 852.