PRN: Pengundi silap pilih PN pada PRU15 akan undi BN - Zahid

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Negeri Perlis di Dewan Sivik Arau, Perlis hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Negeri Perlis di Dewan Sivik Arau, Perlis hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ARAU - Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) yakin mampu memberi saingan di negeri-negeri yang memiliki majoriti Melayu yang ditadbir Pas di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera kedua-dua parti kini berada dalam keadaan siap siaga termasuk memperbaiki kelemahan-kelemahan lalu untuk berdepan saingan pilihan raya negeri (PRN).

Menurutnya, ia juga akan disumbangkan oleh penyesalan pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang membuat kesilapan memilih Perikatan Nasional (PN) selepas berlakunya pertukaran kerajaan.

“Insya-ALLAH kita berada pada tahap yang baik untuk perbaiki kelemahan lalu, saya yakin kesilapan pengundi lalu juga akan diperbaiki apabila terdapat penyesalan berlaku pertukaran kerajaan,” katanya pada sidang akhbar ketika hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Perlis di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman.

Presiden UMNO itu juga percaya trend sokongan pengundi akan berubah dalam PRN akan datang berbanding pada PRU15 lalu.

“Di mana terdapat pengundi yang akan ubah haluan memilih kepada kestabilan atas keyakinan tinggi terhadap kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri meminta rakan-rakan komponen dalam BN agar tidak gopoh atau tergesa-gesa dalam membuat keputusan berhubung agihan kerusi untuk ditandingi dalam PRN.

“Malam tadi (Khamis) sudah ada perbincangan dengan pimpinan parti-parti dalam BN, tanggungjawab itu diberikan kepada Pengerusi atau Pengarah Pilihan Raya BN (Datuk Seri Mohamad Hasan) untuk dengar pandangan atau permintaan semua parti komponen.

“Apabila selesai rundingan peringkat negeri akan dibawa ke peringkat Dewan Tertinggi BN untuk diputuskan oleh Pengerusi PH dan BN,” ujarnya.

Menurutnya lagi, setiap pandangan akan diperincikan bagi memenuhi keperluan semua pihak yang boleh menyumbang kepada kemenangan.

“Saya yakin pendekatan yang berhikmah dan penuh bijaksana ini akan dapat selesaikan rundingan dan semua agihan (kerusi) dapat dimuktamadkan secara harmoni,” jelasnya.