5,000 penduduk terjejas, Jambatan Enggor runtuh

Rutin harian hampir 5,000 penduduk terjejas selepas Jambatan Enggor yang menjadi laluan utama ke Karai dekat sini runtuh berikutan hujan lebat berterusan sejak seminggu lalu. Gambar kecil: Ahmad Qarib, Rafli
Rutin harian hampir 5,000 penduduk terjejas selepas Jambatan Enggor yang menjadi laluan utama ke Karai dekat sini runtuh berikutan hujan lebat berterusan sejak seminggu lalu. Gambar kecil: Ahmad Qarib, Rafli
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Rutin harian hampir 5,000 penduduk terjejas selepas Jambatan Enggor yang menjadi laluan utama ke Karai termasuk kawasan sejarah, Jambatan Victoria dekat sini runtuh berikutan hujan lebat berterusan sejak seminggu lalu.

Kejadian disedari penduduk sekitar jam 11.40 malam pada Selasa dengan kesan runtuhan menghalang keseluruhan laluan jambatan sepanjang 13 meter berkenaan.

Penduduk, Rafli Md Nor, 50, berkata, buat masa ini, laluan yang menghubungkan penduduk dari beberapa kampung antaranya Enggor, Kampung Jawang, Kampung Loh dan Salak ke Pekan Karai tersebut ditutup sepenuhnya atas faktor keselamatan.

"Sejak Khamis lagi hujan lebat berlaku di kawasan ini menyebabkan paras air Sungai Enggor naik tinggi dan berlaku limpahan air yang deras.

"Pada awalnya berlaku rebakan dan tanah jerlus di sebelah kiri laluan menghala ke Karai dan tidak pun sampai 24 jam, runtuhan merebak ke keseluruhan jambatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Rafli berkata, runtuhan itu adalah kali ketiga berlaku dalam tempoh 20 tahun sejak jambatan itu diwujudkan sekitar tahun 1900.

Katanya, kerja-kerja pembaikan dan bina baharu yang dilakukan sebelum ini masih tidak dapat menampung aliran deras air sungai mengakibatkan runtuhan sama masih berlaku.

Kerja awal pembaikan dilakukan LAP di lokasi kejadian bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air.
Kerja awal pembaikan dilakukan LAP di lokasi kejadian bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air.

"Kita harap selepas ini jambatan yang lebih kukuh dapat dibina.

"Penduduk dimaklumkan projek jambatan baharu di sini sudah pun diluluskan. Entah mengapa masih belum dilaksanakan sehinggalah berlaku lagi runtuhan di jambatan ini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Qarib Khairuddin, 54, berkata, keadaan itu menyebabkan aktiviti penduduk untuk keluar bekerja dan ke sekolah terganggu.

Ujarnya, laluan alternatif jalan kampung disediakan untuk komuniti setempat, namun hanya untuk kegunaan motosikal disebabkan laluan yang sempit.

"Kenderaan berat seperti bas kilang dan bas sekolah perlu menggunakan laluan lebih jauh hingga 4 kilometer melalui jalan besar ke Kampung Loh dan Pekan Karai.

"Kita harap kerja baik pulih jambatan ini dapat disegerakan, kerosakan yang berlaku menjejaskan penduduk di banyak kawasan kampung," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan berkata, laluan jambatan itu akan ditutup selama lapan bulan bagi kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Berlaku rebakan dan tanah jerlus di sebelah kiri laluan menghala ke Karai sebelum runtuhan merebak ke keseluruhan jambatan.
Berlaku rebakan dan tanah jerlus di sebelah kiri laluan menghala ke Karai sebelum runtuhan merebak ke keseluruhan jambatan.

"Proses ini akan dilakukan secepat mungkin dan buat masa ini, bahagian teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) bermesyuarat membincangkan isu ini kerana akan melibatkan satu peruntukan yang besar," katanya.

Kejadian itu turut mengakibatkan penduduk di beberapa kawasan iaitu Pekan Karai, Kampung Loh, Bendang Sungai, Kampung Kapur, Kampung Periang dan sekitarnya mengalami gangguan bekalan air akibat saluran paip utama pecah.

Lembaga Air Perak (LAP) dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, kerja-kerja baik pulih sedang dilakukan di lokasi kejadian dan gangguan berlaku sehingga kerja pembaikan selesai.