'Saya seolah diberi nyawa kedua untuk hidup'

Jamal (kanan) menziarahi Sapingai yang menderita kanser paru-paru tahap empat di rumahnya di Kampung Desa Ehsan, Batu 23 Sungai Nibong, Sekinchan pada Jumaat.
Jamal (kanan) menziarahi Sapingai yang menderita kanser paru-paru tahap empat di rumahnya di Kampung Desa Ehsan, Batu 23 Sungai Nibong, Sekinchan pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Seorang penghidap kanser paru-paru tahap empat terharu apabila sebuah badan bukan kerajaan (NGO) sudi menanggung segala kos rawatannya di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Sapingai Ab Rahman, 67, yang menetap di Kampung Desa Ehsan, Batu 23 Sungai Nibong, Sekinchan berkata, masih ada pihak prihatin dengan nasib dialami dan bersyukur kerana masih diberikan 'nyawa kedua' selepas ini.

"Saya bersyukur ada yang mengambil berat tentang kesihatan saya dan sanggup menanggung bayaran rawatan yang dianggarkan mencecah puluhan ribu ringgit," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Sapingai, pada mulanya, doktor mengesyaki dia mengalami jangkitan Tibi selepas mengalami batuk berterusan.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam mengesahkan saya menghidap kanser paru-paru tahap empat pada Ogos lalu.

"Sejak itu, saya kerap berulang-alik ke HTAJ Sabak Bernam dan mendapat rawatan susulan di Hospital Teluk Intan," jelasnya.

Sapingai yang mengusahakan kedai runcit memberitahu, sebaik mengetahui menghidap kanser, seluruh jiwanya seakan kosong dan hanya mampu berdoa dan berserah sepenuhnya kepada ALLAH SWT.

"Saya akui memang tidak kuat untuk hadapi penyakit ini seorang diri, lebih-lebih lagi dalam keadaan isteri saya yang mengalami strok buat kali kedua sejak tiga tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Namun, saya bertekad untuk berjuang melawan sel kanser dan alhamdulillah saya diberikan kekuatan di samping sokongan keluarga untuk meneruskan kehidupan," jelasnya.

Sementara itu, calon BN Parlimen Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang menziarahi Sapingai memberitahu, segala kos rawatan kanser itu ditanggung sepenuhnya sebuah NGO.

Ujar Jamal, masalah kesihatan dialami Sapingai itu sama seperti penyakit dialaminya sebelum ini hingga terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital swasta pada September lalu.

"Saya telah berhubung dengan rakan NGO untuk membantu Sapingai mendapatkan rawatan pemulihan dan kita berharap dia segera pulih dan sihat seperti sediakala," katanya.