'Air dalam badan anak semua kering, paru-paru kecut'

Ahmad Faris berkata, anak tunggalnya itu mulai batuk sejak seminggu lalu dan alami simptom muntah-muntah beberapa hari selepas itu. - Foto Astro Awani
Ahmad Faris berkata, anak tunggalnya itu mulai batuk sejak seminggu lalu dan alami simptom muntah-muntah beberapa hari selepas itu. - Foto Astro Awani
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang bayi perempuan berusia setahun dari Kampung Kota, di sini menjadi mangsa kedua maut dipercayai akibat serangan strok haba.

Memetik laporan Astro Awani, kanak-kanak yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Nur Imani Ahmad Faris Fazli dan merupakan anak tunggal.

Bapa mangsa, Ahmad Faris Fazli Mohd Nasir berkata, anaknya mulai batuk sejak seminggu lalu dan mengalami simptom muntah-muntah beberapa hari selepas itu.

"Punca kematian hasil 'post-morterm' adalah disebabkan strok haba. Air dalam badan semua kering, paru-paru sudah kecut semua," katanya pada Khamis.

Menurutnya, Nur Imani mula kritikal pada Isnin malam, kemudian mereka membawanya ke sebuah klinik swasta sebelum diminta menghantar ke hospital.

Ujarnya, semasa dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), keadaan Nur Imani lemah dan kesejukan.

"Namun doktor yang bertugas di unit kecemasan pada malam berkenaan hanya memberikan ubat dan meminta kami membawa pulang anak kami.

"Doktor bagi balik, saya pun tak tahu... memang niat nak suruh masuk wad sebab anak saya lembik dah," katanya.

Dia memberitahu, keadaan anaknya semakin teruk sebelum menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 7.20 pagi Selasa.

Astro Awani akan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkaitan berhubung ini.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dari Kampung Perupok, Bachok menjadi mangsa pertama strok haba apabila maut pada Selasa.

Mangsa, Muhamad Syamil Aqil dikatakan meninggal dunia jam 9.27 pagi semasa sedang mendapatkan rawatan di sebuah klinik.

Ibu mangsa yang dikenali sebagai Wanie berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan mengesahkan anak lelaki sulung daripada tiga beradik itu maut akibat strok haba dan dehidrasi.