PRN: UMNO Sungai Besar cadang Mohd Imran calon BN

Jamal (dua dari kanan) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Sungai Besar di Sekin Resort pada Ahad malam.
Jamal (dua dari kanan) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Sungai Besar di Sekin Resort pada Ahad malam.
A
A
A

SEKINCHAN - UMNO Bahagian Sungai Besar sebulat suara menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin untuk terus mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Ketuanya, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, Mohd Imran dipilih kerana yakin bahawa Ketua Pemuda UMNO Selangor itu mampu meneruskan khidmat bakti kepada rakyat di kawasan terbabit.

"Kita memang ada nama beberapa calon lain, namun beliau (Mohd Imran) calon teratas kerana sudah menjadi wakil rakyat selama satu penggal dan masih muda," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Sungai Besar di Sekin Resort pada Ahad malam.

Jamal berkata, Parlimen Sungai Besar mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di DUN Sungai Panjang dan Sekinchan.

Jelas beliau, kerusi DUN Sungai Panjang milik Barisan Nasional (BN) manakala DUN Sekinchan pula dimenangi calon DAP mewakili Pakatan Harapan (PH), Ng Suee Lim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Tiada pertembungan calon BN dan PH pada PRN di Sungai Besar ini dan kita akan terus menyatakan sokongan untuk PH di kerusi DUN Sekinchan.

"Atas semangat Kerajaan Perpaduan, kita semestinya memikirkan apa yang terbaik kepada parti dan rakyat," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, UMNO juga berharap pengundi daripada DAP turut memberi sokongan kepada calon BN pada PRN Selangor.

"Kita juga akan menyokong calon DAP di kerusi DUN Sekinchan dan harapan sama juga pengundi DAP menyokong kami di DUN Sungai Panjang," katanya.