PRU15: Cikgu Rahayu angkat isu pendidikan di Tanjong Karang

Cikgu Rahayu ketika menjadi panelis dalam program Sinar Live bertajuk Adakah Peluang Di Kubu Kuat BN? dikendalikan Fahiz Ariff selaku Hos yang berlangsung di Tanjong Karang. Foto Sinar Harian/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Cikgu Rahayu ketika menjadi panelis dalam program Sinar Live bertajuk Adakah Peluang Di Kubu Kuat BN? dikendalikan Fahiz Ariff selaku Hos yang berlangsung di Tanjong Karang. Foto Sinar Harian/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Tanjong Karang, Siti Rahayu Baharin menegaskan isu pendidikan negara juga merupakan isu tempatan yang harus diangkat di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Beliau yang lebih mesra dipanggil sebagai Cikgu Rahayu berkata, masalah tersebut tidak sepatutnya diangkat oleh ahli Parlimen yang berada di kawasan bandar kerana impaknya turut dirasai oleh hampir semua golongan masyarakat di Malaysia.

“Ada orang cakap dengan saya, cikgu fokus dekat isu tempatan tapi saya cakap isu pendidikan adalah isu tempatan di mana-mana sahaja.

"Cuba lihat semasa kita menghadapi pandemik, ramai anak-anak yang ketinggalan berada di luar bandar dan yang di bandar pun sama kerana isu utama adalah isu pendidikan yang tidak diselesaikan.

Kesannya, kanak-kanak ketinggalan dua tahun dan jadi lost generation (generasi yang hilang),” katanya ketika Program Sinar Live bertajuk 'Adakah peluang di kubu kuat BN? yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Hadir sama calon Gerakan Tanah Air (GTA) di Parlimen Tanjong Karang, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali denga nama Lando Zawawi.

Pada PRU15 kali ini, persaingan lima penjuru di kerusi Parlimen Tanjong Karang turut membabitkan Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi yang mewakili (PN), Datuk Habibah Mohd Yusof (BN) dan Mohd Rosni Mastol (Bebas).

Dalam pada itu, Siti Rahayu yang juga pengasas kepada Buku Jalanan Chow Kit berkata, penglibatannya dalam aktivisme pendidikan sejak tujuh tahun lalu menyedarkannya bahawa langkah membawa perubahan kepada masyarakat turut memerlukan pembuatan dasar yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

“...saya rasa macam dah lakukan banyak untuk organisasi, anak-anak miskin kota di Chow Kit, Kuala Lumpur dan kita dah ada sekolah serta ruang selamat untuk mereka tetapi kemudiannya ada semacam siling yang halang pergerakan untuk membantu lebih.

“Saya rasa dinding itu adalah ruang pembuatan dasar. Jadi saya ingin mengambil inisiatif untuk saya lebih mengkedepankan suara kanak-kanak dan isu.

"Bila saya ditawarkan peluang untuk bertanding di peringkat Parlimen, saya rasa in adalah satu peluang yang sangat bagus,” ujarnya.

Pada masa sama, Siti Rahayu berkata, walaupun sebahagian besar aktivisme dilaksananya adalah di bandar, kawasan luar bandar bukanlah sesuatu yang asing kerana beliau sendiri merupakan anak kampung yang berasal dari Kokdiang, Kedah.

Dalam pada itu, beliau berkata, banyak perkara asas yang perlu diselesaikan di kawasan tersebut seperti pembangunan infrastruktur antaranya bagi kemudahan perkhidmatan air dan capaian internet.

“Sebelum saya nak janji yang besar-besar, saya nak selesaikan dahulu perkara asas yang membebankan kehidupan rakyat di sini,” jelasnya.