Isu LRT tergendala, rosak seperti tiada kesudahan

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Rosli
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Rosli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) sewajarnya memandang serius berhubung isu kerosakan pengangkutan awam terutamanya perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) sejak awal.

Ahli Majlis Tertinggi Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, isu LRT tergendala dan rosak seperti sudah tiada kesudahan dan mungkin rakyat Malaysia masih ingat peristiwa hitam dalam sejarah pengangkutan awam negara.

"Insiden 24 Mei di laluan Kelana Jaya dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampong Baru disifatkan terburuk di negara ini khususnya melibatkan pengangkutan rel apabila merekodkan kecederaan 260 orang penumpang termasuk 47 parah.

"Kementerian Pengangkutan sepatutnya dari awal memandang serius berhubung isu kerosakan pengangkutan awam terutamanya LRT.

"Sekiranya mereka (syarikat terbabit) tidak dapat menyediakan perkhidmatan selamat dan tepat masa, maka sukar untuk menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan awam selepas ini," katanya.

Mohd Rosli yang juga calon GTA di Parlimen Putrajaya berkata, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong telah meluluskan sebanyak RM800 juta untuk 'mid-life refurbishment' melibatkan 28 set tren siri 818.

"Beliau juga menjanjikan sebanyak 19 tren jenis baharu akan diterima pada suku keempat tahun hadapan namun bukan isu LRT itu sahaja malah bilangan bas Rapid KL juga tidak mencukupi bagi memastikan perkhidmatan bas berjalan lancar.

"Jika mereka (pengguna) ingin menggunakan khidmat e-hailing seperti Grab misalnya, kosnya pula mahal dan begitu membebankan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, jika GTA dipilih untuk menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), projek LRT yang dirancang sebelum ini akan diteruskan dan ditambah baik lagi bagi menyediakan keselamatan dan keselesaan kepada para pengguna.

Pada Selasa, Rapid KL memberitahu, LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan disebabkan masalah Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil yang telah mengganggu keseluruhan jadual perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.

Dalam laporan Sinar Harian pada Rabu, sebanyak 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula Rabu hingga 15 November depan.