Selangor Mobiliti tingkat capaian pengangkutan awam - MB

Menteri Besar (empat kanan) merasmikan Forum Selangor Mobiliti anjuran Kerajaan negeri dengan kerjasama MBSA dan MBI di Seksyen 13 di sini pada Khamis.
Menteri Besar (empat kanan) merasmikan Forum Selangor Mobiliti anjuran Kerajaan negeri dengan kerjasama MBSA dan MBI di Seksyen 13 di sini pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor Mobiliti diperkenalkan bagi meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam di Selangor dan bakal diperluas ke lapan zon menjelang September tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, zon terbabit sedang dikenal pasti di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menumpukan kawasan pinggir dan kawasan padat penduduk.

"Selangor Mobiliti ini di mana kita bukan hanya meneruskan program Bas Smart Selangor yang sebelum ini menyediakan 150 bas di 50 laluan kerana di satu-satu lokaliti itu kita memerlukan bas yang banyak.

"Untuk mencapai laluan-laluan tersebut ada kawasan pinggir atau kawasan padat penduduk dan pengangkutan berdasarkan permintaan ini akan mula melaksanakan beberapa pilot projek," katanya.

Menteri Besar ditemui selepas merasmikan Forum Selangor Mobiliti anjuran Kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Seksyen 13 di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, Ng Sze Han.

Amirudin menjelaskan, setakat ini inisiatif itu sudah dilaksanakan di Gombak, Selayang dan Puchong tanpa memfokuskan mod pengangkutan semata-mata, tetapi turut melibatkan infrastruktur lain seperti hentian bas, mikromobiliti serta e-skuter.

“Kita akan kenal pasti zon berkenaan tetapi tunggu masa sesuai. Kita perlukan dua hingga tiga bulan sebab ia turut menggunakan aplikasi dan perlukan masa untuk keserasian.

“Jika maklum balas dan permintaan baik, saya percaya ia boleh dibesarkan ke zon lain. Secara automatik boleh kurangkan penggunaan bas dan beri tumpuan di zon lain,” katanya.

Amirudin menambah pelaksanaan Selangor Mobiliti juga membuktikan kerajaan negeri mempunyai inisiatif untuk menambah baik sistem pengangkutan awam sekali gus meningkatkan kebolehhunian.

“Inisiatif ini selari teras kelestarian dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang memfokuskan matlamat bandar rendah karbon dengan migrasi daripada penggunaan pengangkutan persendirian kepada pengangkutan awam secara optimum,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin menerusi Belanjawan Selangor 2023 mengumumkan penjenamaan semula Bas Smart Selangor kepada Selangor Mobiliti bagi menambah baik kemudahan pengangkutan awam negeri.

Disokong dengan sistem penganalisaan data, Selangor Mobiliti meliputi semua mod pengangkutan awam dan infrastruktur sokongan bawah satu bumbung seperti bas, rel, teksi dan e-panggilan serta hab pengangkutan awam.

........................................................................................................

Projek rintis DRT tumpu kawasan padat di Selangor

SHAH ALAM - Projek rintis perkhidmatan bas transit atas permintaan (Demand-Responsive Transit) dengan menumpukan kawasan padat di Selangor dijangka bermula pada Julai hingga Disember ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif selama enam bulan di bawah fasa pertama Selangor Mobiliti itu membabitkan pelaksanaan bukti konsep (proof of concept) bagi perkhidmatan berkenaan.

Beliau menjelaskan kekangan Bas Smart Selangor sedia ada tidak dapat mencapai laluan sempit dan berkepadatan tinggi, oleh itu kerajaan negeri berhasrat melaksanakan perkhidmatan DRT.

“Jawatankuasa projek rintis DRT akan menilai kebolehlaksanaan projek sebelum diperluaskan ke zon lain pada masa depan.

"Diharap projek ini membantu menyelesaikan masalah capaian pengangkutan awam di tempat tertentu,” katanya pada Forum Selangor Mobiliti di Seksyen 13 di sini pada Khamis.

Menteri Besar turut memaklumkan perkhidmatan itu dilaksanakan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) serta dikawal selia Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Amirudin menambah operasi perkhidmatan berkenaan pula akan dikendali Asia Mobility Technologies Sdn Bhd dan Badanbas Coach Sdn Bhd berdasarkan kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat.

“Saya percaya dengan sistem pengangkutan yang baik boleh memenangi hati rakyat dan menjadi negeri idaman untuk diduduki di samping menarik minat pelabur luar dan dalam negara,” katanya.

DRT menyediakan penyambungan perkhidmatan segmen awal dan segmen terakhir dalam sesuatu perjalanan menerusi aplikasi pintar ‘intelligent’.

Selain itu, laluan dan jadual sistem pengangkutan disediakan mengikut permintaan penumpang khususnya pada waktu puncak.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM25 juta bagi memperkasa sistem pengangkutan awam bawah program Selangor Mobiliti dengan RM22 juta diberi kepada 11 PBT untuk meneruskan pelaksanaan Bas Smart Selangor.

Manakala RM3 juta lagi bagi pelaksanaan Selangor Mobiliti Fasa Pertama yang merangkumi perkhidmatan van DRT.