Samun klinik lepas bebas POCA

Mohd Zaid (tengah) menunjukkan senjata parang yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan samun sebuah klinik pergigian di daerah Kajang baru-baru ini.
Mohd Zaid (tengah) menunjukkan senjata parang yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan samun sebuah klinik pergigian di daerah Kajang baru-baru ini.
A
A
A

KAJANG - Seorang lelaki yang baru dibebaskan daripada Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dua bulan lalu, diberkas lagi pada Rabu, selepas terlibat menyamun sebuah klinik pergigian baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek berusia 36 tahun itu turut ditahan bersama empat lagi individu termasuk seorang wanita tempatan dan lelaki Bangladesh dalam operasi pada jam 4.58 petang.

Menurutnya, serbuan turut merampas pelbagai barang antaranya parang, motosikal Yamaha R15, pakaian, topi keledar, barang kemas, beberapa telefon bimbit serta komputer riba.

"Siasatan mendapati, suspek utama baru sahaja dibebaskan dari tahanan POCA pada September lalu dan memiliki 12 rekod jenayah berkaitan kes samun serta dadah.

"Dipercayai, kejadian itu dilakukan suspek bersama seorang rakan serumahnya yang turut didapati memiliki dua rekod jenayah," ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada Khamis.

Beliau berkata, suspek wanita adalah bekas isteri salah seorang suspek yang memiliki barang kemas, warga Bangladesh pula berperanan membeli telefon bimbit hasil kegiatan samun manakala seorang lagi suspek lelaki adalah pemilik motosikal yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati empat suspek termasuk wanita itu positif dadah.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 47 tahun direman selama lima hari bermula Khamis untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, dengan penahanan geng ini, polis telah menyelesaikan dua kes samun membabitkan klinik di daerah ini pada tahun ini.