Kenaikan OPR: PBM minta kerajaan beri moratorium

Zuraida
Zuraida
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta untuk memberikan moratorium kepada semua pinjaman bank berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus.

Presiden Pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamarudin berkata, walaupun kenaikan OPR itu merupakan tindak balas kepada inflasi dan selari dengan langkah bank pusat di negara lain, keputusan tersebut memberi impak negatif terutamanya kepada sektor perniagaan di Malaysia.

“Pemimpin PBM termasuk saya sendiri telah menerima banyak aduan daripada sektor korporat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai isu ini.

“Ramai yang masih menghadapi masalah aliran tunai meskipun negara sudah mula beralih ke peringkat endemik mereka sejak 1 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kenaikan OPR yang diumumkan oleh BNM pada 3 November lalu merupakan peningkatan keempat berturut-turut sejak Mei tahun ini.

Zuraida berkata, walaupun semua sektor ekonomi kini dibuka semula, negara masih jauh dari situasi prapandemik dan ketidaktentuan ekonomi serta politik global bakal memburukkan lagi keadaan dihadapi.

Zuraida menambah, meskipun ramai peniaga sebelum ini menstrukturkan pinjaman mereka dengan andaian bahawa ekonomi akan pulih, perkembangan terbaru menunjukkan ekonomi dijangka menghadapi beberapa cabaran dalam tempoh terdekat.

Jelas beliau, Bank Dunia baru-baru ini turut menyemak semula sasaran pertumbuhan Malaysia bagi tahun 2023 daripada 4.5 peratus kepada 4.2 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Inilah sebabnya kami percaya pemberian moratorium ini boleh menjadi talian hayat kritikal untuk perniagaan, terutamanya di masa yang mencabar seperti sekarang.

“Pakar-pakar ekonomi telah mengesahkan kejayaan rancangan moratorium Malaysia sebelum ini dan saya pasti ia akan membawa manfaat yang sama sekarang.

“Tambahan pula, bank Malaysia telah terbukti berdaya tahan dan ada yang memperoleh keuntungan yang lumayan walaupun pada kemuncak wabak Covid-19,” ujarnya yang yakin bahawa bank mampu menerima kejutan mungkin timbul akibat langkah berkenaan.