Anwar, Rafizi digesa perjelas kenaikan OPR

Anwar Ibrahim dan Rafizi
Anwar Ibrahim dan Rafizi
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli perlu memberi penjelasan berkenaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik pada 3 Mei lalu yang sebelum ini dinafikan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, penjelasan tersebut penting terutama tidak lama lagi Kerajaan Perpaduan akan berdepan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim

"Jadi saya tidak mahu rakyat di enam negeri di Semenanjung akan berdepan dengan pilihan raya negeri menempelak Kerajaan Perpaduan dan kerajaan Madani sekarang dengan pertanyaan sinikal mereka iaitu adakah OPR ini boleh ditafsirkan sebagai Operasi Peras Rakyat," soalnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Hassan berkata, Bank Negara (BNM) mempunyai alasan sebab menaikkan kadar OPR berkenaan.

"Kita bersangka baik kepada Jawatankuasa Dasar Monetari (MPN) BNM yang membuat keputusan menaikkan kadar OPR itu. BNM mungkin melihat kepentingan ekonomi makro Malaysia bagi jangka panjang.

"Tetapi Bank Negara juga perlu bergerak seiring dengan kerajaan sekarang pimpinan Anwar Ibrahim yang sedang berusaha untuk membantu ekonomi majoriti rakyat yang sedang bergelut untuk hidup berdepan dengan krisis kos sara hidup yang parah," ujarnya.

Katanya, Anwar selaku Menteri Kewangan tentu bersetuju dengannya bahawa golongan B40 dan M40 paling terkesan teruk dengan kenaikan kadar OPR tersebut.

Jelasnya, B40 dan M40 merupakan 80 peratus rakyat Malaysia dan mereka menghadapi masalah kewangan serta ekonomi sekarang.