Pemuda Pas gesa lapor SPRM isu tebatan banjir

Ahmad Fadhli dan laporan Sinar Harian pada Isnin
Ahmad Fadhli dan laporan Sinar Harian pada Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa pemimpin pembangkang melaporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang didakwa memberi projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pemimpin berkenaan juga perlu memdedahkan tandatangan atau arahan daripada menteri yang meluluskan segera projek tersebut.

Tanpa menamakan siapa pemimpin yang dimaksudkan, namun gesaan Ahmad Fadhil itu dipercayai merujuk kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

"Jika benar dedahkanlah. Hendak suruh lapor ke SPRM, memang daripada dulu lagi atau beliau tidak pandai guna Waze untuk ke pejabat SPRM.

"Saya kagum dengan beliau, daripada mana beliau dapat kemahiran berbohong sebegini? di gua atau laut mana?.

"Tambahan pula, menteri tersebut (Tuan Ibrahim) terus menafikan tidak menandatangani apa-apa dokumen tender selepas Parlimen dibubarkan selaras arahan KSU. " ujarnya menerusi laman Facebook pada Selasa.

Pada Isnin, Rafizi Ramli mendedahkah KASA dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat dimiliki individu dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

Dakwanya, sumber dalam kerajaan yang usaha meluluskan segera projek itu di bawah pentadbiran kerajaan sementara adalah sebagai timbal balas selepas menerima dana untuk digunakan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Rafizi menggesa Tuan Ibrahim menjawab dakwaan berkenaan dan memberi jaminan tidak akan meluluskan sebarang projek dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara, kerana ia bertentangan dengan pekeliling Perbendaharaan.

Tambah Ahmad Fadhli, dulu pemimpin pembangkang itu pernah membuat dakwaan dengan begitu yakin bahawa akan mendedahkan pemimpin penting Pas yang menerima wang daripada 1MDB.

"Namun akhirnya yang didedahkan hanyalah bekas pemimpin Pas yang sudah lama tidak berada dalam 'line-up' pemimpin parti sejak tahun 2011.

"Selain itu, beliau juga dengan yakin berceramah di atas pentas, Pas sudah tidak berani buat ceramah besar. Peliknya masa tu Pas dalam siri mengadakan himpunan-himpunan besar di seluruh negara.

"Pelik sungguh, sama ada beliau memang tidak tahu atau beliau ada kemahiran berbohong yang begitu tinggi," jelasnya.