Rafizi tuntut penjelasan projek bernilai RM2 bilion bawah KASA

Rafizi Ramli - Foto Bernama
Rafizi Ramli - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menuntut penjelasan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung status projek kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.

Beliau mendakwa, berdasarkan sumber dalaman, kementerian itu sedang dalam proses untuk menganugerahkan tender tersebut secara rundingan terus kepada sebuah syarikat sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara.

"Maklumat yang saya peroleh setakat ini menunjukkan ada satu projek yang kini sedang diusahakan untuk diberi kelulusan segera secara rundingan terus walaupun dalam tempoh 'kerajaan sementara'.

"Saya tidak pasti apakah status proses kelulusan tersebut kerana saya mendapat maklumat ia akan diluluskan dalam tempoh dua minggu ini.

"Jadi saya minta Tuan Ibrahim buat kenyataan serta-merta dan pastikan keputusan kelulusan bagi projek itu tidak dibuat sehingga ada kerajaan baharu.

"Sekiranya ia diluluskan, tindakan itu melanggar peraturan Perbendaharaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan libatkan salah guna kuasa," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Rafizi menegaskan, Tuan Ibrahim perlu menjawab perkara tersebut kerana mendakwa syarikat sama pernah mendapat tender kerja-kerja menaik taraf kolam tebatan banjir Krubong–Durian Tunggal secara tender terhad (atau selektif) di bawah program Jana Wibawa bernilai bernilai RM578.6 juta sebelum ini.

Beliau turut mempertikaikan status syarikat berkenaan yang didakwa mempunyai rekod buruk.

Artikel Berkaitan:

"Syarikat ini telah pun ada dua kes petisyen muflis di mahkamah kerana tidak membayar hutang kepada kontraktor seperti rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Syarikat ini berhutang sebanyak RM144 juta dengan institusi kewangan mengikut rekod SSM," katanya.