Rusuhan di Tenom, tiada tangkapan dibuat: Polis

Idris Abdullah
Idris Abdullah
A
A
A

TENOM - Tiada tangkapan dibuat berhubung rusuhan membabitkan penyokong parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) semasa penamaan calon di Dewan DSP Antanom di sini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, kejadian berlaku pada jam 11.30 pagi ekoran daripada penyokong yang tidak berpuas hati apabila pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak borang pencalonan Presiden KDM, Datuk Peter Anthony kerana masih mempunyai kes mahkamah yang belum selesai.

"Akibat tidak berpuas hati, seramai 300 penyokong beliau cuba merempuh dan masuk ke dalam dewan.

"Pihak keselamatan yang terdiri daripada anggota Light Strike Force (LSF) dan tugas am yang dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah bertindak meleraikan penyokong dari masuk ke dalam dewan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, keputusan kemudian diambil menerusi perbincangan yang diadakan antara peguam yang mewakili Peter bersama pegawai SPR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan penyokong tidak bertindak liar seterusnya mematuhi arahan pasukan keselamatan.

"Pada jam 12.32 tengah hari, Datuk Peter Anthony telah keluar dari dewan dan meminta menyokongnya untuk menerima keputusan daripada pihak SPR.

"Bagaimanapun, beliau juga telah membuat satu laporan polis berhubung ketidakpuasan hati terhadap penolakan beliau sebagai calon yang bertanding di P181 Tenom dan akan mengambil tindakan susulan," katanya.

Jelas Idris, tiada tangkapan dibuat namun penyokong yang terlibat telah dipanggil dan diberikan nasihat.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan penyokong ini lebih kepada radikal taasub kepada parti masing-masing, mereka ini telah kita panggil supaya mereka tidak menimbulkan provokasi mengganggu ketenteraman awam. Memang kita sudah beri nasihat kepada mereka," katanya.