Maklumat siasatan bocor: SPRM perlu lapor polis buktikan tiada 'komplot'

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tanggungjawab dengan membuat laporan kepada polis sekiranya berlaku kebocoran maklumat siasatan agensi itu kepada media jika benar perkara tersebut tiada kaitan dengan pihaknya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan itu perlu diambil bagi membuktikan tidak wujud sebarang kebocoran 'terpilih'.

"Baru-baru ini, saya bertanya di Dewan Rakyat berkenaan kebocoran maklumat siasatan SPRM kepada media. Perkara ini penting kerana ia boleh menimbulkan tanda tanya tentang adakah SPRM menjadi alat politik pihak tertentu.

"Ketika menjawab soalan saya, pihak kerajaan menyatakan bahawa laporan polis boleh dibuat jika berlaku kebocoran. Saya menyambut baik jawapan ini, bagaimanapun ternyata ada persoalan lain pula yang timbul.

"(Katakan) kalau nak buat laporan polis, yang sebenarnya patut buat laporan polis adalah SPRM sendiri kerana maklumat didakwa bocor daripada 'sumber SPRM'. Siapa sumber ini? Adakah terdapat anggota yang tidak berintegriti dan membocorkan maklumat? Maka SPRM lah yang perlu membuat laporan polis sebagai tanda mereka tidak merancang dan mahu menghentikan pembocoran itu," katanya dalam kenyatan pada Jumaat.

Tambahnya, jika tiada tindakan dibuat oleh agensi itu, secara tidak langsung ia boleh mendatangkan andaian bahawa kebocoran maklumat siasatan tersebut dilakukan oleh sumber yang dilantik SPRM sendiri.

"Jika berterusan, ada kemungkinan rakyat akan sangsi sejauh mana SPRM boleh dioercayai. Sebab itulah tanggungjawab membuat laporan adalah terletak di bahu mereka.

"Kita tidak mahu rakyat mempersoalkan integriti SPRM. Saya menyeru kerajaan dan SPRM untuk mengambil serius isu ini supaya tidak timbul tuduhan bahawa ini kebocoran yang disengajakan dan ini adalah kebocoran terpilih yang sengaja dirancang atas tujuan tertentu," katanya.