6 lelaki ditahan pukul remaja berhampiran restoran

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan enam lelaki termasuk seorang warga asing kerana terlibat dalam satu kejadian merusuh di Jalan Dato' Abdullah Tahir di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, semua suspek yang berusia antara 19 hingga 52 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan sekitar Larkin dan Masai di sini bermula jam 9.40 malam.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis merampas beberapa peralatan yang digunakan suspek dalam rusuhan itu termasuk sepucuk pistol, 20 butir peluru, kad senjata dan borang kebenaran menggunakan senjata serta lima telefon bimbit.

"Polis sedang mengesan beberapa suspek lain yang dipercayai terlibat dalam kejadian rusuhan ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada jam 5.30 pagi Rabu seorang remaja lelaki berusia 19 tahun cedera diserang sekumpulan lelaki berhampiran sebuah restoran di jalan berkenaan sebelum kejadian itu tular dalam media sosial.

Rakaman video itu turut menunjukkan mangsa bukan sahaja dipukul malah diacu dengan sepucuk pistol oleh seorang suspek.

Raub berkata, rusuhan tersebut dipercayai membabitkan 10 lelaki yang bertindak memukul mangsa secara beramai-ramai dan dipercayai berpunca daripada seorang wanita warga asing.

Beliau berkata, mangsa berkenalan dengan wanita tersebut berusia 20-an yang merupakan teman wanita kepada seorang suspek.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek yang tidak berpuas hati bertindak memukul mangsa bersama-sama wanita tersebut semasa berada di sebuah restoran.

"Mangsa diserang secara beramai-ramai dan dicederakan menggunakan tangan dan kaki serta pelbagai perkakas yang dijadikan senjata antaranya kerusi, meja dan peralatan memasak.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, tangan dan kaki. Dia bagaimanapun telah dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebagai pesakit luar," katanya.

Tambah Raub, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 506 Kanun Keseksaan.