6 warga asing ditahan disyaki pecah masuk pejabat

Pelbagai barangan yang dirampas bagi membantu siasatan berkaitan kes pecah masuk pejabat.
Pelbagai barangan yang dirampas bagi membantu siasatan berkaitan kes pecah masuk pejabat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai enam lelaki warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pecah masuk sebuah pejabat menjual peralatan dan perkakasan komputer di Wangsa Melawati di sini, pada 1 April lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan pada jam 1.55 petang.

"Barangan yang dilaporkan hilang adalah wang tunai mata wang asing berjumlah RM50,000 dan dua buah telefon bimbit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ashari berkata, kesemua suspek berusia 31 hingga 41 tahun itu ditahan di sebuah residensi di Jalan Metro Perdana di sini, pada jam 2 pagi, Khamis lalu.

"Kita turut merampas 38 keping mata wang asing pelbagai negara, pakaian yang dipakai oleh suspek ketika kejadian, dua beg silang dan pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk pecah pejabat," katanya.

Mata wang asing yang turut dirampas.
Mata wang asing yang turut dirampas.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek memecah masuk pejabat tersebut melalui bumbung di tingkat atas bangunan.

"Kesemua suspek itu juga terlibat dengan dua kes lain di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek disambung reman selama empat hari bermula Isnin sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Kita sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.