Lima pengemis warga asing ditahan

Pengemis warga asing ditahan polis kerana meminta sedekah di kawasan kaki lima di Bandar Raya Johor Bahru, pada Rabu.
Pengemis warga asing ditahan polis kerana meminta sedekah di kawasan kaki lima di Bandar Raya Johor Bahru, pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lima pengemis jalanan ditahan di sekitar lampu isyarat, kaki lima dan bazar Ramadan di bandar raya ini, pada Rabu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pengemis warga asing yang ditahan itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 29 sehingga 65 tahun.

"Ada antara mereka yang ditangkap tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, enam laporan polis berkaitan kegiatan pengemis jalanan diterima sejak 31 Mac lalu sehingga Rabu melibatkan tiga kes di Johor Bahru Selatan, satu kes di Johor Bahru Utara dan dua kes di Seri Alam.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Polis kontinjen Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana aktiviti pengemis jalanan yang menjejaskan imej bandar raya dan keselamatan pengguna jalan raya di Johor.

"Tindakan undang-undang akan diambil mengikut peruntukan sedia ada," tegasnya.

Tambahnya, polis kontinjen Johor menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti tersebut menerusi talian hotline polis Johor 07-2254074 atau balai polis berhampiran.