Tular remaja dipukul 10 lelaki berhampiran restoran

Tangkap layar video tular memaparkan seorang remaja dipukul sekumpulan lelaki berhampiran sebuah restoran di Bandaraya Johor Bahru pada Rabu
Tangkap layar video tular memaparkan seorang remaja dipukul sekumpulan lelaki berhampiran sebuah restoran di Bandaraya Johor Bahru pada Rabu
A
A
A


JOHOR BAHRU - Berpunca daripada seorang wanita dikenali menerusi media sosial, tular seorang remaja cedera diserang sekumpulan lelaki berhampiran sebuah restoran di bandar raya ini pada Rabu.

Rakaman video yang tular itu menunjukkan remaja lelaki berkenaan dipukul termasuk dengan menggunakan kon sehingga mengakibatkannya cedera di bahagian muka, kepala serta badan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian terbabit dilaporkan berlaku pada jam 5.15 pagi.

"Mangsa yang berusia 19 tahun memberitahu, dia berkenalan dengan seorang wanita warga asing melalui media sosial, sebelum mereka berjanji untuk bertemu di sebuah restoran di kawasan berkenaan.

"Ketika sedang minum, mangsa didatangi empat lelaki yang bertanyakan bagaimana dia berkenalan dengan wanita tersebut. Tidak lama kemudiannya mangsa dipukul oleh mereka," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa bertindak melarikan diri ke kawasan berhampiran sebelum dikejar enam lagi lelaki sehingga akhirnya dibelasah 10 lelaki terbabit.

Tambah Raub, mangsa kemudian diberikan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Menurutnya, polis akan menjalankan siasatan kejadian tersebut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Artikel Berkaitan: