Empat maut akibat denggi

KKM melaporkan empat individu maut akibat komplikasi denggi pada 23 hingga 29 Oktober lalu. - Gambar hiasan
KKM melaporkan empat individu maut akibat komplikasi denggi pada 23 hingga 29 Oktober lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan empat individu maut akibat komplikasi denggi pada minggu epidemiologi (ME) 43 iaitu 23 hingga 29 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan pada Rabu memaklumkan, bagi tempoh tersebut sebanyak 1,460 kes demam denggi dilaporkan berbanding ME sebelumnya adalah 1,614 kes.

Menurutnya, KKM merekodkan penurunan sebanyak 9.5 peratus iaitu 154 kes.

"Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 49,569 kes berbanding 21,707 kes bagi tempoh sama tahun 2021.

"Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 27,862 kes (128.4 peratus), manakala sebanyak 33 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 16 kematian bagi tempoh sama iaitu peningkatan sebanyak 17 kematian (106.3 peratus)," katanya.

Beliau berkata, bilangan lokaliti titik panas pada ME 43 adalah 56 berbanding 51 pada minggu sebelumnya.

"Daripada jumlah lokaliti tersebut, 35 titik panas berada di Selangor, Sabah (15), Kuala Lumpur dan Putrajaya (empat) dan satu di Negeri Sembilan serta Melaka," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, survelan Chikungunya merekodkan sebanyak satu kes pada ME 43 iaitu di Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah kumulatif kes Chikungunya sehingga kini adalah 670 kes," katanya.

Ujar beliau, nyamuk aedes adalah vektor yang efisien bagi penyebaran jangkitan demam denggi.

Nyamuk aedes mempunyai jangka hayat selama 30 hari dan dalam tempoh tersebut, nyamuk betina mampu bertelur sehingga enam kali serta menghasilkan di antara 60 hingga 120 biji telur nyamuk setiap kali bertelur.

Telur nyamuk aedes yang mengandungi virus denggi dapat diwariskan kepada generasi nyamuk seterusnya melalui telur yang dihasilkan dikenali sebagai transovarian transmission.

"Oleh itu, memusnahkan tempat potensi pembiakan nyamuk aedes melalui aktiviti cari dan musnah adalah langkah terbaik untuk memastikan rantaian jangkitan demam denggi dapat diputuskan," katanya.