Bayi maut di Kelantan bukan disebabkan strok haba - KKM

Kematian bayi berusia 19 bulan disebabkan severe dehydration with underlying sepsis dan bukan disebabkan strok haba sebagaimana laporan media.
Kematian bayi berusia 19 bulan disebabkan severe dehydration with underlying sepsis dan bukan disebabkan strok haba sebagaimana laporan media.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Hanya satu kes kematian akibat strok haba di Kelantan melibatkan kanak-kanak berusia 11 tahun manakala kematian bayi berusia 19 bulan di negeri itu bukan disebabkan strok haba seperti dilaporkan media, demikian menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata, hasil siasatan awal pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mendapati penyebab kematian kanak-kanak berusia 11 tahun adalah heat stroke with severe dehydration.

”Kematian bayi berusia 19 bulan pula disebabkan severe dehydration with underlying sepsis dan bukan disebabkan strok haba sebagaimana laporan media,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, sehingga hari ini terdapat lima kes penyakit berkaitan cuaca panas dilaporkan dengan tiga kes dilaporkan di Sarawak melibatkan dua kes kekejangan haba dan satu kes kelesuan haba.

Dr Muhammad Radzi berkata, pendedahan kepada cuaca panas dalam tempoh lama dan kurang minum air boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, golongan warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

Beliau berkata, gejala penyakit akibat cuaca panas melampau adalah sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah-lemah otot atau kekejangan, rasa mual dan keadaan yang terlalu teruk boleh mengakibatkan dehidrasi, kekeliruan dan tidak sedarkan diri atau koma.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai terutamanya mereka yang menyambut perayaan Aidilfitri atau bercuti ketika cuaca panas ini supaya mengambil langkah pencegahan termasuk merancang aktiviti beraya atau ziarah dan elakkan waktu puncak cuaca panas antara jam 11 pagi hingga 4 petang.

"Banyakkan minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal atur suhu badan. Kurangkan minum air manis, berkafein dan berkarbonat kerana ia tidak baik untuk hidrasi badan.

"Golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas, perlu dipastikan minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi serta awasi gejala keletihan dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan warga emas kerana mereka mungkin mengalami dehidrasi tanpa disedari,” katanya.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia (https://www.met.gov.my/iklim/status-cuacapanas/) dan langkah pencegahan di laman sesawang KKM (http://www.myhealth.gov.my/cuaca-panas-a-kesihatan). - Bernama