22 maut akibat demam denggi setakat April

Sejumlah 22 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding enam kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu. - Gambar hiasan
Sejumlah 22 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding enam kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,877 kes demam denggi dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi (ME) 16 iaitu dari 16 hingga 22 April, penurunan 522 kes atau 21.8 peratus berbanding 2,399 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, satu kematian akibat komplikasi demam denggi juga dilaporkan pada ME 16.

Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 35,202 kes berbanding 11,921 kes bagi tempoh sama tahun 2022 iaitu peningkatan 23,281 kes atau 195.3 peratus.

"Sementara sejumlah 22 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding enam kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, 116 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 109 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 62 lokaliti berada di Selangor, Pulau Pinang (32), Sabah (lapan), Kuala Lumpur dan Putrajaya (tujuh), Perak (tiga), Kedah (dua) dan masing-masing satu di Sarawak serta Labuan.

Selain itu, Dr Muhammad Radzi berkata, survelan chikungunya merekodkan tiga kes pada minggu ke-16 dengan dua kes dari Selangor dan satu kes dari Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 120 kes dan bagi survelan zika pula, sebanyak 888 sampel darah dan 33 sampel urin telah dijalankan saringan dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Beliau berkata, dalam kegembiraan menyambut perayaan Aidilfitri, penjagaan kebersihan persekitaran masih perlu diutamakan kerana terdapat pelbagai bekas berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Lakukan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan luar rumah, dan pastikan tiada air bertakung di bekas takungan penapis air, pelapik rak pinggan dan baldi atau bekas penyimpanan yang tidak terpakai.

"Lupuskan barang lusuh serta pastikan bekas makanan atau minuman dan peralatan makanan pakai buang yang digunakan semasa jamuan makan dibuang ke tempat yang ditentukan kerana nyamuk Aedes hanya memerlukan air yang minima untuk bertelur,” katanya.

Menurutnya, pencegahan gigitan nyamuk Aedes juga perlu diamalkan semasa melakukan aktiviti kunjung-mengunjung dengan menggunakan repelan pada anggota badan yang terdedah. - Bernama