MBPP rampas 80 kenderaan mikromobiliti

Tangkap layar mengenai insiden membabitkan pengunjung dengan penunggang e-skuter di Padang Kota Lama.
Tangkap layar mengenai insiden membabitkan pengunjung dengan penunggang e-skuter di Padang Kota Lama.
A
A
A

GEORGETOWN - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah merampas 80 kenderaan mikromobiliti termasuk e-skuter dalam 10 operasi bersepadu yang dijalankan sejak April lalu.

Tindakan itu diambil di bawah Akta Jalan Parit & Bangunan 1974 (Akta 133) Seksyen 46 (1) iaitu bagi kesalahan meletakkan sesuatu barang jualan atau himpunan sesuatu benda dan halangan di tempat awam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, MBPP memaklumkan, rampasan dibuat bersama beberapa agensi lain dalam usaha membendung isu keselamatan pengguna jalan raya dan aktiviti yang tidak memiliki lesen sah dari pihak berkuasa tempatan terbabit.

Menurutnya, MBPP bersama pasukan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menjalankan operasi penguatkuasaan termasuk pemantauan dan pemeriksaan.

"Untuk makluman, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Mikromobiliti Tertentu) 2021 telah berkuat kuasa pada 17 Disember 2021.

"Tindakan bagi kesalahan pengendali e-skuter secara berbahaya adalah bidang kuasa polis dan JPJ," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, MBPP juga telah mengeluarkan 62 notis tawaran kompaun kepada pengusaha e-skuter bagi kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Tred MPPP 1991 dengan kesalahan tidak memiliki lesen sah dari majlis.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai insiden pengunjung di kawasan Padang Kota Lama dilanggar penunggang e-skuter hingga menyebabkan kecederaan.

Artikel Berkaitan:

MBPP turut melahirkan rasa kesal atas insiden berkenaan dan menegaskan tiada sebarang lesen yang dikeluarkan kepada pengusaha e-skuter di bahagian pulau Pulau Pinang setakat ini.