Operasi benih awan di Pulau Pinang bermula hari ini

Operasi OPA di kawasan tadahan Empangan Teluk Bahang serta Empangan Teluk Air Itam di Pulau Pinang selama dua hari bermula hari ini.
Operasi OPA di kawasan tadahan Empangan Teluk Bahang serta Empangan Teluk Air Itam di Pulau Pinang selama dua hari bermula hari ini.
A
A
A

SUBANG - Operasi pembenihan awan (OPA) dijalankan di kawasan tadahan Empangan Teluk Bahang serta Empangan Teluk Air Itam di Pulau Pinang selama dua hari bermula hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi berkenaan bertujuan bagi menjamin sumber air mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca yang dipengaruhi Monsun Barat Daya.

Menurutnya, operasi kali ini melibatkan kerjasama antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebagai sebahagian daripada tindakan awal bagi mengatasi penyusutan air di kedua-dua empangan tersebut.

"Kita tidak menanti cuaca menjadi panas dan kering pada tahap kemuncak untuk bertindak selain sudah melakukan ramalan dan kajian dengan lebih awal menerusi MetMalaysia.

"Objektif OPA kali ini dilaksanakan secara serampang dua mata yang bukan sahaja memastikan empangan air mempunyai kapasiti air secara kondusif dan mencukupi tetapi pada masa sama salah satu objektifnya dapat membantu sebagai salah satu pelan mitigasi dalam menangani impak kepada sektor pertanian.

"Itu sebabnya selain operasi pembenihan awan di kawasan empangan, kita juga mempertimbangkan berdasarkan kajian teknikal sekiranya ada keperluan untuk laksanakan operasi pembenihan awan itu di kawasan sungai," katanya kepada pemberita pada sidang media OPA di sini pada Isnin.

Pada 2 Mei lepas, TUDM dan MetMalaysia menjalankan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan Empangan Teluk Bahang serta Empangan Teluk Air Itam di Pulau Pinang bagi memulihkan bekalan air yang terjejas dan semakin menyusut di kawasan tadahan hujan.

Sebelum ini MetMalaysia memaklumkan Monsun Barat Daya dijangka bermula 15 Mei dan berterusan sehingga September tahun ini dengan kelembapan udara lebih rendah.

Sepanjang tempoh tersebut, bilangan hari tanpa hujan lebih banyak dan fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal.

Armizan.(tengah) bersama barisan kepimpinan TUDM, Nadma dan MetMalaysia di hadapan pesawat yang akan melakukan OPA di Pangkalan Udara TUDM Subang pada Isnin.
Armizan.(tengah) bersama barisan kepimpinan TUDM, Nadma dan MetMalaysia di hadapan pesawat yang akan melakukan OPA di Pangkalan Udara TUDM Subang pada Isnin.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, operasi berkenaan melibatkan pesawat C-130 Hercules milik TUDM berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang dengan membawa empat tangki mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air yang disediakan MetMalaysia.

Sementara itu, beliau berkata, beberapa sungai disasarkan bagi menjalankan OPA namun setakat ini belum mempunyai keperluan untuk melaksanakannya.

"Dalam mesyuarat pengurusan bencana lepas, beberapa sungai disasarkan untuk kita lakukan OPA antaranya kawasan Sungai Muda, Sungai Kedah, Sungai Melaka, Sungai Kelantan, Sungai Klang, Sungai Bernam dan Sungai Similajau di Sarawak.

"Jika ada kerajaan negeri yang mempunyai keperluan untuk melaksanakan OPA, mereka boleh kemukakan cadangan kepada Nadma dan penyelarasan akan dilakukan oleh MetMalaysia," ulasnya.

Amrizan (tengaj berucap) pada sidang media OPA.
Amrizan (tengaj berucap) pada sidang media OPA.

Tambahnya lagi, OPA dilaksanakan atas permohonan kerajaan Pulau Pinang melalui penyelarasan antara Nadma, MetMalaysia dan TUDM.

"Empangan Teluk Air Itam mempunyai kapasiti air sebanyak 48.6 peratus manakala Empangan Teluk Bahang 44.4 peratus sekali gus ia berada di bawah paras ditetapkan iaitu 50 peratus.

"Jadi sebab itu kita ambil tindakan lebih proaktif di mana tak perlu menunggu keadaan lebih serius dengan laksanakan OPA kali kedua. Alhamdulillah, operasi OPA sebelum ini berjaya hasilkan hujan di kedua kawasan tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perbincangan kos OPA melibatkan kerajaan negeri dan juga Nadma.

"Di Pulau Pinang, sebahagian besar kos tersebut ditanggung oleh kerajaan negeri. Mereka mempunyai peruntukkan sekiranya OPA terpaksa dilakukan.

"Fokus kita pula adalah untuk memastikan OPA yang dilakukan ini berjaya," jelasnya.