'Pahang kubu kuat, benteng terakhir'

Ismail Sabri bergambar bersama orang ramai ketika hadir pada Majlis Kenduri keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. Kuantan hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri bergambar bersama orang ramai ketika hadir pada Majlis Kenduri keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. Kuantan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Pahang adalah kubu kuat dan menjadi benteng terakhir UMNO, sekali gus boleh memberi kemenangan besar kepada parti Melayu itu dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun Johor kini dikatakan kini kuat UMNO, namun ia gagal dipertahankan pada pilihan raya yang lalu.

Menurutnya, justeru UMNO perlu bekerja keras untuk menguasai kesemua kerusi DUN dan Parlimen negeri ini seterusnya menguasai persekutuan bagi membentuk kerajaan yang lebih stabil.

"Kita mesti mempunyai kerajaan yang kukuh sebab itu kali ini, di Pahang kita mesti beri kemenangan kepada kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Menteri Besar.

"Di peringkat persekutuan pula kita mesti mempunyai kerajaan yang kuat dengan parti saya ini (BN). Parti baju biru ini. Kita mesti beri kemenangan yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir memeriahkan Kenduri Rakyat Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Sabtu.

Ismail Sabri menegaskan UMNO perlu menjadi parti dominan di Putrajaya dan perlu menguasai lebih banyak kerusi bagi memastikan pembentukan sebuah kerajaan yang stabil.

Jelasnya, setakat ini BN hanya menangi 42 kerusi dan terpaksa 'menumpang' kepada orang lain.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri menambah, disebabkan tiada kekuatan menyebabkan pergolakan dalam pentadbiran kerajaan dan ia mengalih tumpuan pemimpin negara terhadap kepentingan rakyat.

“Kalau berlaku pergolakan tentu sahaja kerajaan tidak boleh menumpukan perhatian kepada pentadbiran dan ekonomi. Perdana Menteri atau menteri besar terpaksa menjaga kepentingan politik dahulu sebelum mendapatkan sesuatu untuk kepentingan rakyat.

“Apabila keadaan menjadi tidak stabil, tentu sahaja kerajaan terpaksa menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang tidak penting. Yang sepatutnya kita lakukan adalah memulihkan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan sebagainya.

"Sebab itu, kita mesti menjadi dominan dan membentuk kerajaan yang stabil kerana dengan kerajaan yang stabil kita mampu membentuk kemakmuran," ujar beliau.