'Konvensyen Kerajaan Perpaduan 'respons' kepada Proklamasi Melayu'

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto: Bernama
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto: Bernama
A
A
A

TUMPAT - Penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei ini yang julung kalinya bakal menghimpunkan 19 parti politik adalah 'jawapan' kepada Proklamasi Melayu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Kerajaan Perpaduan respons kepada usaha pihak tertentu untuk mengadakan Proklamasi Melayu yang digerakkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan cara menganjurkan konvesyen ini.

"Kerajaan Perpaduan respons dengan cara menganjurkan konvensyen ini. Ini cara kita.

"Mereka boleh teruskan (Proklamasi Melayu) tetapi kami akan terus fokus kepada Konvensyen Nasional yang belum pernah dalam sejarah politik negara sebuah Kerajaan Perpaduan diisi dengan 19 parti politik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Lawatan Kerja Ke Sempadan Perairan Maritim Negeri Kelantan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, pada tahun 1969, Tun Razak telah menggabungkan tiga parti etnik utama dalam Barisan Nasional (BN) dan kini ia diteruskan bersama Kerajaan Perpaduan.

Beliau menjelaskan, penggabungan parti politik berkenaan bertujuan membentuk kestabilan politik di negara ini.

"Kami terjemahkan dalam bentuk gabungan politik untuk tujuan kestabilan dan terus fokus kepada pembangunan ekonomi serta pembelaan rakyat.

"Biarlah Proklamasi Melayu itu tersujud begitu sahaja," katanya.

Sebelum itu, media melaporkan, beberapa pemimpin Pas termasuk Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir dan menandatangani Proklamasi Orang Melayu.