Calon isytihar harta bukan perkara baharu

Nurhayati Nordin
Nurhayati Nordin
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha menjadikan pengisytiharan harta daripada ahli politik sebagai bukti ketelusan berkhidmat kepada rakyat bukan satu perkara baharu kerana isu sama pernah dilaksanakan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Ketika menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), gerakan melaksanakan inisiatif murni itu telah disambut baik oleh calon-calon PH yang bertanding bagi menyatakan kesungguhan dan keikhlasan menjayakan agenda tersebut.

Ketika itu, seramai 36 calon PH yang diketuai Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengisytiharkan harta kepada Invoke Malaysia di Subang Jaya, Selangor pada 2018.

Malah, nama-nama besar antaranya bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin; bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad; Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir dan Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil turut bersedia mengisytiharkan harta masing-masing.

Turut sama membuat pengisytiharan demi politik bersih dan ketelusan kepimpinan ketika itu adalah Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid; Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil dan Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim.

Malah Ahli Parlimen Sepang ketika itu, Hanipa Maidin turut membuat pengumuman sama dengan menunjukkan baki wang tunai di akaun bank miliknya.

Pada 6 Disember 2019, kesemua 139 Ahli Parlimen PH telah mengemukakan borang akuan pengisytiharan harta kepada Dewan Rakyat setelah tempoh berbuat demikian berakhir pada hari tersebut.

Selain PH, seramai tiga ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melakukan perkara sama diikuti Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebanyak 14 orang; Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) masing-masing seorang, sementara 62 ahli Parlimen yang belum berbuat demikian iaitu BN seramai 38 orang, Pas (18), GPS (tiga), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sebanyak seorang dan bebas (dua).

Artikel Berkaitan:

Selain mengisytiharkan harta kepada Speaker Dewan Rakyat, satu salinan pengisytiharan telah diberi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, menyedari berlaku kepincangan dalam kepimpinan negara apabila berlaku kes salah laku, isu ketirisan serta gejala rasuah yang berleluasa, rakyat sedar kepentingan untuk memilih barisan kepimpinan yang telus dan amanah.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai mahukan calon-calon PRU15 yang bebas daripada sebarang skandal melibatkan sumber pendapatan yang tidak diketahui puncanya.

“Kontroversi dana yang masuk ke akaun peribadi calon, isu penyelewengan dan sebagainya telah menimbulkan pelbagai masalah, sekali gus merosakkan kepercayaan dan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada barisan kepimpinan.

“Oleh demikian, usaha pengisytiharan harta daripada calon-calon pilihan raya boleh menjadi satu benteng untuk mengelak sebarang bentuk potensi rasuah yang mungkin berlaku apabila dipilih menjadi barisan kepimpinan negara selepas ini,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Jumaat.

Tambah Nurhayati, pengisytiharan harta merupakan komitmen awal calon-calon mempamerkan tahap integriti dan akauntabiliti tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Sudah sampainya masa ujarnya, ekosistem berintegriti dan bebas rasuah menjadi trademark buat calon bertanding, seiringan dengan janji-janji serta manisfesto pembangunan yang dihidangkan kepada rakyat setiap kali pilihan raya.

Tegasnya, keseimbangan moral melalui pengukuhan nilai-nilai murni harus diangkat sebagai elemen penting bagi pemilihan calon pada hari pengundian.

Jelasnya, ia sejajar dengan segala bentuk elemen pembangunan lain kerana negara yang bermaruah lahir daripada individu dan kepimpinan yang mempunyai ihsan, amanah dan ikhlas.

“Kita tidak mahu rakyat tersalah pilih calon yang bakal memimpin negara kerana pemimpin yang korup akan memusnahkan masa hadapan negara.

“Pastikan mereka yang bersih dan tidak terpalit dengan sebarang skandal untuk diangkat sebagai pemimpin,” katanya.