Calon muka baharu, peratusan pengundi penentu kejayaan parti

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Penampilan calon muka baharu dan popular serta kadar peratusan keluar mengundi dijangka menjadi antara faktor penentu bagi persaingan antara parti-parti politik yang bertanding di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berkata, perancangan Barisan Nasional (BN) Selangor untuk menampilkan muka baharu pada PRU kali ini pastinya akan memberi kelebihan untuk menarik sokongan di negeri yang mempunyai jumlah pengundi teramai di Malaysia, memandangkan parti itu kini berada dalam keadaan yang lebih selesa berbanding semasa PRU14 lepas.

"Calon baharu tidak semestinya calon muda, desas-desus Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil akan diangkat sebagai muka baharu akan bagi sedikit sebanyak tambahan satu ke dua kerusi untuk BN di Selangor," katanya kepada Bernama.

Susulan keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk bergerak solo dan kemunculan Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada PRU, katanya, situasi itu secara tidak langsung memberi kelebihan kepada BN dengan jangkaan pecah undi dalam kalangan Melayu akan berlaku dalam parti pembangkang.

Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar mengumumkan BN akan menampilkan 21 muka baharu manakala Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PH akan meletakkan calon boleh menang dalam PRU15 tanpa mengira calon lama atau baharu.

PH menyandang 16 daripada keseluruhan 22 kerusi Parlimen di Selangor manakala BN (satu), Bersatu (tiga) dan PBM (dua) dan mungkin berhadapan dengan jangkaan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Dalam pada itu katanya, keputusan kerajaan Selangor yang diterajui PH untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Parlimen, mungkin akan menjadi strategi makan tuan buat pakatan itu kerana pengundi di luar Selangor perlu pulang mengundi dua kali dan barangkali terbeban dengan kos dan masa.

Bagi Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, pengumuman Noh ialah resipi sama digunakan oleh BN ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka yang terbukti berjaya.

Artikel Berkaitan:

Namun katanya, calon BN yang berwibawa dan tepat perlu dipilih bagi menarik hati pengundi untuk bersaing menghadapi strategi PH yang biasanya akan meletakkan calon parti yang 'glamor' di kawasan strategik untuk meraih undi popular.

Noor Nirwandy berkata, walaupun PH di Selangor menyandang jumlah kerusi yang tinggi berbanding parti lain, situasi pada PRU15 kali ini berbeza dan dijangka memberi tekanan kepada pakatan itu untuk mengekalkan kemenangan.

"PRN di Johor dan Melaka menjadi bukti apabila peratusan keluar mengundi rendah, ia memberi kelebihan kepada BN dan sekiranya situasi yang sama berlaku ketika PRU15 nanti, pastinya memberi tekanan kepada PH untuk mengekalkan kemenangan, namun jika peratusan mengundi tinggi iaitu lebih 70 peratus ia akan memberi tekanan kepada BN bagi meraih sokongan daripada bukan ahli parti," katanya.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Muhammad Fuad Othman turut senada dengan Noor Nirwandy dengan menyatakan penampilan muka-muka baharu BN untuk PRU di Selangor nanti adalah formula yang sama digunakan di PRN Melaka dan Johor dan nampaknya strategi berkenaan menjadi.

"Tetapi kemenangan itu juga dipengaruhi oleh kadar peratusan turun mengundi di dua PRN berkenaan yang agak rendah, jadi parti lawan pastinya lebih berpeluang untuk menang sekiranya kadar keluar mengundi agak tinggi," katanya.

Muhammad Fuad berkata, dalam situasi rakyat kini yang lesu dan keliru dengan keadaan politik di Malaysia, setiap parti perlu memastikan calon yang terbaik menjadi sandaran mereka dan tidak semata-mata bergantung kepada sentimen tertentu.

"Selain itu, lambakan pengundi baharu pada PRU kali ini akan menjadi cabaran besar untuk semua parti politik. Parti yang boleh memenangi hati pengundi-pengundi baharu pastinya akan mendapat kelebihan," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November. - Bernama