Tahap pencemaran Sungai Rui rendah

Ahmad Faizal pada sidang media menjelaskan mengenai situasi sebenar pencemaran Sungai Rui di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Ahmad Faizal pada sidang media menjelaskan mengenai situasi sebenar pencemaran Sungai Rui di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
A
A
A

IPOH - Tahap pencemaran Sungai Rui disahkan rendah dan tidak mengancam keselamatan orang ramai berdasarkan standard piawaian yang ditetapkan oleh Organisasi Kesihatan Dunia (WHO).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, orang ramai khususnya penduduk di daerah Hulu Perak dan sekitar Sungai Rui tidak perlu panik atau bimbang dengan keadaan tersebut.

Katanya, berikutan keadaan itu juga kerajaan Perak telah mewujudkan Jawatankuasa Khas dianggotai 11 agensi bagi mengatasi isu tersebut.

"Penubuhan Jawatankuasa Khas atau task force ini adalah berdasarkan arahan nombor satu Pengurusan Keselamatan Negara susulan penemuan awal kehadiran elemen arsenik dalam sumber air oleh jabatan-jabatan berkaitan.

"Memandangkan pencemaran ini melibatkan risiko keselamatan awam, pihak kerajaan negeri telah bersetuju supaya semua tindakan yang dijalankan oleh task force ini diletakkan di bawah Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri," katanya kepada pemberita pada satu sidang media khas mengenai isu pencemaran Sungai Rui, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, berdasarkan kajian yang telah dibuat, arsenik secara semulajadi wujud dalam tanah di daerah Hulu Perak.

Katanya, peningkatan kandungan arsenik di dalam air sungai berkemungkinan berpunca daripada aktiviti penerokaan tanah seperti perlombongan bijih, hakisan tanah dan perladangan yang telah berlangsung selama lebih 100 tahun.

Sementara itu, menurutnya Jabatan Kesihatan Perak telah menjalankan pemeriksaan ke atas penduduk di Kampung Air Ganda di Daerah Hulu Perak yang dijangkiti penyakit kulit.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, kes-kes yang mempunyai tanda dan gejala penyakit dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran di daerah Hulu Perak untuk pemeriksaan, rawatan dan susulan.

"Buat masa ini Jabatan Kesihatan negeri merumuskan hasil kajian termasuk pemerhatian dan pemeriksaan fizikal ke atas penduduk adalah masih awal dan belum lagi dapat dikaitkan dengan pendedahan terhadap arsenik. Jabatan Kesihatan akan terus memantau tahap kesihatan penduduk Kampung Air Ganda.

"Hasil ujian contoh air yang dijalankan ke atas sampel air di Loji Air Ganda terkini menunjukkan paras arsenik adalah rendah dan di bawah piawaian yang telah ditetapkan oleh WHO iaitu kurang daripada 0.01 miligram untuk setiap liter. Ini bermakna, air terawat yang dibekalkan oleh Lembaga Air Perak (LAP) kepada penduduk di situ adalah selamat untuk digunakan," katanya.

Ahmad Faizal berkata, susulan kejadian pencemara itu, kerajaan negeri telah membekukan semua aktiviti-aktiviti pembalakan di Hulu Perak dan sepanjang Sungai Rui sehingga laporan konklusif hasil daripada semua kajian diperolehi.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mewakili kerajaan negeri turut memohon maaf atas kekhilafan kenyataan awal yang dibuat Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari sebelum ini berhubung isu itu.