Sultan Nazrin berkenan sertai larian bersama lebih 10,000 peserta

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah (LHKSNS) 2026 yang menghimpunkan lebih 10,000 peserta di Dataran Pavilion di sini pada Ahad.
Baginda berkenan berangkat bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim selain turut disertai Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama barisan Exco kerajaan negeri.

Larian yang bermula seawal jam 6.45 pagi itu disertai seramai 10,014 peserta bagi memeriahkan sambutan Hari Keputeraan Sultan Nazrin yang ke-70 pada 7 November lalu.
Acara dimulakan dengan pelepasan peserta kategori 15 kilometer (km) melibatkan 4,741 orang yang disempurnakan Sultan Nazrin di Dataran Pavilion pada jam 6.45 pagi.
Baginda kemudiannya berkenan melepaskan peserta bagi kategori 10km dan 7km yang masing-masing melibatkan 3,372 dan 1,898 peserta secara serentak pada jam 7 pagi.
Turut berkenan menyertai acara berkenaan ialah anakanda baginda berdua, Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzzaffar Shah bagi kategori 15km, manakala Raja Datuk Seri Nazira Safya menyertai kategori 7km.
Sementara itu, kategori 3km melibatkan tetamu kehormat terdiri daripada orang besar jajahan, exco kerajaan negeri dan ketua jabatan dilepaskan oleh adinda baginda, Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Selesai acara larian, baginda berdua berkenan menghadiri acara santapan dan menikmati persembahan oleh Kumpulan Stomp dan Percussion Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh, Kumpulan Selendang Perak dan persembahan tarian perang Senoi Praaq daripada Batalion 3, PGA Bidor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


