Bunga kelumpang diangkat identiti rasmi Batik Perak

IPOH - Bunga kelumpang yang mempunyai kaitan rapat dengan warisan Kesultanan Perak diangkat sebagai motif utama dan identiti rasmi Batik Perak.
Keunikan bunga itu bukan sahaja mencerminkan kehalusan seni dan budaya negeri ini, malah menjadi simbol kesinambungan warisan tradisi yang diterjemahkan melalui penghasilan tekstil batik tempatan.
Pengiktirafan itu dimeterai menerusi Majlis Pelancaran Batik Perak yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.
Keberangkatan baginda pada jam 8.30 malam diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin.
Majlis berkenaan turut menyaksikan persembahan montaj dan peragaan busana Batik Perak yang mengetengahkan keindahan motif bunga kelumpang menerusi sentuhan kreatif pereka fesyen tempatan, Tina Rashidi dan Bon Zainal Harun.

Dalam sembah ucapannya, Saarani berkata, bunga kelumpang atau nama saintifiknya Sterculia foetida mempunyai nilai sejarah tersendiri kerana keindahannya telah lama diabadikan pada seni ukiran pintu masuk Balairung Seri Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.
Beliau berkata, motif berkenaan turut menghiasi persekitaran Galeri Sultan Azlan Shah yang dahulunya dikenali sebagai Istana Ulu dan pernah menjadi tempat persemayaman tiga Sultan Perak.
Menurutnya, keunikan bentuk daun yang menyerupai jari, bunga berwarna hijau keunguan serta susunan buah seperti bintang memberikan nilai estetika tersendiri sehingga sesuai diketengahkan sebagai motif Batik Perak.
"Usaha mengangkat motif bunga kelumpang sebagai identiti batik negeri telah dirintis Kraftangan Malaysia Cawangan Perak sejak Februari 2023 melalui cadangan pembangunan motif berkenaan kepada Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).
"Cadangan itu turut merangkumi penggunaan motif bunga kelumpang dalam pelbagai hasil kraf termasuk batik, tekatan benang emas dan seramik," katanya.
Saarani berkata, pada Ogos 2024, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju mengangkat bunga kelumpang sebagai identiti rasmi Batik Perak, selain memperkenalkan inovasi penggunaan tanah liat dalam proses penghasilannya.
Katanya, usaha melindungi keaslian identiti tersebut turut dilaksanakan menerusi pendaftaran hak cipta di bawah Akta Hak Cipta 1987 bagi rekaan corak Motif Negeri Perak, Batik Kelumpang.
"Permohonan yang dikemukakan pada 16 April 2025 itu telah mendapat kelulusan pada 19 Mei tahun sama," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan pengusaha batik menerusi Projek Pembangunan Komuniti Kraf yang dilaksanakan Kraftangan Malaysia di Bagan Serai, Selama, Muallim, Tapah, Lenggong, Kuala Kangsar, Gerik dan Kampung Gajah.
Tambahnya, kerajaan negeri sedang meneliti cadangan penggunaan Batik Perak sebagai pakaian rasmi penjawat awam negeri agar hasil tangan tempatan itu semakin dikenali dan menjadi sebahagian kebanggaan masyarakat Perak.
"Patik berharap Batik Perak terus mendapat tempat dan menjadi persalinan anak negeri, membuka pintu rezeki yang lebih luas kepada pengusaha tempatan, sekali gus mengangkat nama negeri ke peringkat antarabangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


