Lapan lokasi dikenal pasti sebagai hotspot banjir di Kuantan

Wan Mohd Zahari menjalankan sesi ujian pemeriksaan aset menyelamat jawatankuasa kecil, pemindahan dan menyelamat daerah Kuantan di pekarangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan di sini pada Rabu.
Wan Mohd Zahari menjalankan sesi ujian pemeriksaan aset menyelamat jawatankuasa kecil, pemindahan dan menyelamat daerah Kuantan di pekarangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan di sini pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Lapan lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan banjir di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, antara kawasan yang akan diberikan tumpuan ialah Sungai Lembing, Panching, Jalan Kuantan-Gambang, bandar raya Kuantan, Kuantan-Bypass, Beserah, Gebeng/Cherating dan Kampung Ubai.

"Ini kawasan tumpuan yang telah dipertanggungjawabkan kepada setiap agensi yang berada di bawah jawatankuasa kecil pemindahan dan menyelamat di daerah ini.

"Seramai 1,110 pegawai dan anggota daripada agensi penyelamat yang terlibat dalam penugasan menyelamat dan pemindahan mangsa banjir di sini (Kuantan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas berakhirnya pameran dan sesi ujian pemeriksaan aset menyelamat jawatankuasa kecil, pemindahan dan menyelamat daerah Kuantan di pekarangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan di sini pada Rabu.

Sembilan agensi berada di bawah jawatankuasa ini seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Kuantan, Angkatan Pertahanan Awam, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Darat Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Wan Mohd Zahari menjelaskan, sebanyak 41 bot daripada keseluruhan agensi akan digunakan, jika berlakunya banjir.

Mengulas mengenai pemeriksaan dan ujian aset menyelamat, beliau berkata, semua aset yang ada berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan apabila berlaku bencana.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah mengatur gerak setiap agensi yang berada di bawah jawatan kuasa ini dan kita sudah membuat pembahagian kepada lapan zon.

"Seterusnya, mereka akan bergerak mengikut zon untuk diambil tindakan selanjutnya bila berlakunya banjir di daerah ini," jelas beliau lagi.

Sehubungan itu, Wan Mohd Zahari menasihatkan penduduk khususnya yang berada di kawasan rendah supaya bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut yang diramal berlaku pada pertengahan November depan.

"Kita mahu supaya mereka lebih peka tentang keadaan semasa, cuaca masa kini dan sekali gus memudahkan kita mengambil tindakan awal, jika kawasan kediaman mereka dinaiki air," katanya.