Sultan Johor boleh tangguh atau mansuh Dewan Negeri

Bendahari UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday dengan rendah diri menzahirkan pandangan Sultan Johor boleh menangguh atau memansuhkan Dewan Negeri.
Bendahari UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday dengan rendah diri menzahirkan pandangan Sultan Johor boleh menangguh atau memansuhkan Dewan Negeri.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar boleh membubarkan Dewan Negeri Johor mengikut Fasal 23(2) Bahagian Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Pandangan itu dizahirkan dengan rasa rendah diri oleh Bendahari UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday susulan peletakan jawatan Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor selain kemelut politik bakal pengganti bagi jawatan tersebut.

Menurutnya, Fasal 23(2) Bahagian Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 menyatakan 'Raja boleh menangguhkan atau memansuhkan Dewan Negeri'.

"Ini adalah berasaskan kepada setelah 10 bulan PH menerajui Kerajaan Johor, rakyat tidak dapat melihat dengan jelas hala tuju pentadbiran kerajaan negeri.

"PH tidak mempunyai barisan ADUN yang mempunyai kredibiliti dan pengalaman untuk memimpin kerajaan, oleh hal yang demikian, PH boleh membariskan bakal pimpinan negeri dalam Pilihanraya Umum Negeri itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Md Jais berkata, Pilihanraya Umum Negeri itu juga boleh memberi peluang kepada rakyat sekali lagi untuk memilih kerajaan yang lebih diyakini.

"Pilihanraya Umum Negeri juga dapat membersihkan dakwaan yang kononnya pihak istana terlibat dalam politik semasa," katanya.

Ketua UMNO Bahagian Kluang itu berkata, dalam konteks Malaysia Baharu yang digembar-gemburkan oleh PH seharusnya mementingkan rakyat dari soal politik semata-mata.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin, persaingan sihat dalam Pilihanraya Umum Negeri, akan memberikan ruang kepada PH menjelaskan hala tuju kerajaanya, di samping BN dan Pas menawarkan gagasan barunya," katanya.

Md Jais berkata, kemelut pentadbiran Kerajaan Johor telah bermula sejak pelantikan Osman sebagai Menteri Besar Johor.

Katanya, ramai yang mempertikaikan kebolehan Osman mentadbir kerajaan negeri berasaskan kepada latar belakangnya sehinggalah akhirnya mengakui sendiri tidak menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

"Beliau juga tidak dapat menunjukkan dengan jelas hala tuju pentadbirannya dan gagal membuat pertimbangan yang tepat dalam menguruskan pentadbiran kerajaan, termasuklah menangani tragedi Pasir Gudang baru-baru ini.

"Semua perkara itu menyebabkan seluruh rakyat Negeri Johor gelisah kerana pimpinan negeri dilihat tidak ada kredibiliti langsung untuk mentadbir kerajaan yang mendapat jolokan ‘Harimau Selatan'," katanya.

Beliau berkata, tambahan pula Johor berjiran dengan Singapura yang kecil, tapi dikatakan lebih maju.

"Johor sepatutnya memanfaatkan ekonomi sempadan (boarder economic) supaya alirannya tidak sehala sahaja," katanya.

Dengan peletakan jawatan Osman sebagai Menteri Besar, ujarnya, maka bersambunglah kemelut politik siapa yang bakal menerajui pimpinan negeri.

"Ada pihak yang melihat, akan berlaku percaturan antara calon Tun Mahathir Mohamad dan calon Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Calon Tun Mahathir akan menjadi ‘Yes Man’ kepada Perdana Menteri, manakala calon Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bermasalah dengan Putrajaya," katanya.