322 kakitangan IWK dianugerahkan SKM

Narendran dan tetamu yang hadir bergambar bersama 322 kakitangan operasinya pada konvokesyen khas penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur.
Narendran dan tetamu yang hadir bergambar bersama 322 kakitangan operasinya pada konvokesyen khas penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd mengadakan konvokesyen khas penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) kepada 322 kakitangan operasinya selepas menjalani program latihan Persijilan Kemahiran Malaysia sejak 2019.

Program di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) itu bertujuan untuk mempertingkatkan skil kemahiran pekerja agar lebih berdaya saing dan sesuai dengan keperluan industri terutama dalam industri pembetungan.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, IWK sentiasa menggalakkan pekerjanya mempertingkat kemahiran mereka selaras dengan usaha untuk menyediakan perkhidmatan pembetungan yang terbaik kepada 29 juta pengguna diseluruh negara.

“Selaras dengan perancangan perniagaan syarikat, IWK telah merangka pelan jangka panjang bagi mempertingkatkan latihan kemahiran kakitangan, sama ada melalui program dalaman mahupun yang diterajui agensi kerajaan dan syarikat swasta.

"Matlamat kami adalah untuk meningkatkan lagi kemahiran kakitangan agar mereka sentiasa dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan IWK,” kata Narendran dalam ucapannya di majlis konvokesyen khas berkenaan.

Turut hadir pada majlis konvokesyen itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dr Ching Thoo Kim; Pengarah Persijilan Kompetensi JPK, Mohd Shukri Ismail dan Pengurus Besar Kanan Jabatan Operasi dan Penyelenggaraan IWK, Mohd Zainal Zakaria.

Menurut Narendran, selaras dengan sasaran kerajaan dalam mentranformasikan pendidikan dan latihan teknikal, program SKM ini adalah bukti komitmen syarikat dalam menghasilkan lebih ramai pekerja yang berkemahiran tinggi.

“Ini sejajar dengan ketetapan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang menetapkan kompetensi atau kecekapan kakitangan sebagai salah satu syarat kepada syarikat pengoperasian perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

“Program SKM ini menjadi keperluan kepada operator-operator air dan pembetungan dalam menjalankan tugasan seharian selaras dengan kehendak kerajaan untuk melahirkan k-Pekerja (Knowledge-Pekerja) serta mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Pada masa yang sama, IWK turut menawarkan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di pusat latihan di Asian Sewerage Training and Research Centre (ASTRICE) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Program SLDN Berinsentif yang ditawarkan ASTRICE telah diluluskan JPK dan ia melibatkan 25 perintis terdiri daripada kakitangan IWK yang akan tamat kursus pada Disember 2022 ini.